KUALA LUMPUR - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melancarkan Pelan Strategik Kementerian Perpaduan Negara 2026–2030 sebagai dokumen rujukan utama dalam menetapkan hala tuju dasar dan strategi kementerian bagi tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pelan itu digubal berlandaskan aspirasi Malaysia Madani serta mandat kementerian di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan pembinaan negara bangsa dijadikan asas kepada pembentukan perpaduan negara yang mampan.
Beliau berkata, pelan berkenaan memberi tumpuan kepada lima teras strategik iaitu Patriotisme dan Demokrasi, Pembinaan Negara Bangsa, Ekosistem Perpaduan, Transformasi Digital Perpaduan serta Tadbir Urus Organisasi dan Komunikasi.
Jelasnya, keseluruhan pelan itu merangkumi 12 strategi dan 33 inisiatif yang akan dilaksanakan secara berfasa sepanjang tempoh 2026 hingga 2030.
"Sebagai pembaharuan, pelan ini turut memperkenalkan Rubrik Penilaian Impak Polisi (PIP) sebagai instrumen utama untuk memantau pelaksanaan Pelan Operasi serta mengukur tahap pencapaian setiap teras, strategi dan inisiatif secara lebih berkesan.
"Rubrik ini akan memastikan setiap tindakan yang dilaksanakan memberi impak yang jelas kepada agenda pembinaan negara bangsa dan perpaduan nasional," katanya.
Belia berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bilangan 3/2026 Kementerian Perpaduan Negara di Auditorium Jabatan Muzium Malaysia, di sini pada Rabu.
Pada majlis sama, Aaron turut melancarkan Pelan Strategik Pendigitalan Kementerian Perpaduan Negara 2026–2030 sebagai dokumen perancangan strategik bagi menyokong agenda transformasi digital kementerian.
Beliau berkata, pelan itu berteraskan tiga fokus utama iaitu pemerkasaan ekosistem penyampaian perkhidmatan digital bersepadu, pengukuhan infrastruktur digital berasaskan teknologi terkini dan selamat serta pengukuhan tadbir urus digital dan pemerkasaan keupayaan ICT.
"Pelan Strategik Pendigitalan itu merangkumi tujuh strategi, 21 program dan 55 subprogram yang akan dilaksanakan secara berfasa sepanjang tempoh pelan berkenaan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Aaron berkata, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) diharap dapat menerajui usaha mewujudkan Pangkalan Data Nasional Koleksi Artifak Kebangsaan yang menghimpunkan maklumat koleksi daripada 232 muzium di bawah agensi Persekutuan, kerajaan negeri, universiti serta sektor swasta.
"Inisiatif itu penting bagi mewujudkan ekosistem permuziuman yang lebih sistematik dan berdaya saing, selain mengambil contoh pelaksanaan DigitaltMuseum di Norway dan Sweden yang berjaya menghubungkan ratusan muzium serta mendigitalkan jutaan koleksi untuk tujuan penyelidikan, pendidikan dan akses awam," katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru JMM mempergiatkan Kempen Derma Koleksi di seluruh negara bagi menggalakkan masyarakat menyumbangkan artifak, dokumen, gambar, manuskrip dan bahan bersejarah yang mempunyai nilai warisan untuk dipelihara.
Jelasnya, kempen yang dilaksanakan tahun ini berjaya memperoleh 109 koleksi yang disumbangkan orang ramai, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan koleksi di bawah JMM kini mencecah 437,242 koleksi.
Aaron turut memaklumkan kerajaan Madani menyediakan peruntukan RM5 juta bagi Geran Padanan Muzium (GPM) 2026 untuk menyokong pembangunan dan penaiktarafan muzium, pemodenan serta pendigitalan termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
"Geran itu juga diharap dapat dimanfaatkan bagi memperkukuh kerjasama strategik antara institusi permuziuman dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta dan komuniti korporat supaya usaha pemuliharaan serta pembangunan warisan negara tidak hanya bergantung kepada dana kerajaan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Aaron berkata, sebanyak 126 program dirancang Jabatan Muzium Malaysia sepanjang tahun ini, antaranya Citra Nusa, Fiesta Uniti, Bicara@Muzium dan pelbagai pameran yang dilaksanakan sepanjang tahun bagi menyemarakkan sejarah dan budaya dalam kalangan masyarakat.
"Sehingga Mei lalu, muzium di bawah JMM merekodkan kehadiran 766,939 pelawat, sekali gus mencerminkan sambutan positif masyarakat terhadap usaha penyemarakkan sejarah dan budaya negara," tambahnya.