JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menegaskan bahawa individu yang menganggap masa depan Indonesia suram dipersilakan mencari negara lain untuk didiami.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan kemuncak Hari Koperasi Nasional ke-79 di Indonesia Arena, Gelora Bung Karno, Jakarta pada Ahad.
Menurut Prabowo, Indonesia mempunyai sumber kekayaan yang melimpah dan beliau yakin negara itu mampu bangkit menjadi lebih maju pada masa hadapan.
Dalam ucapannya, Prabowo turut menyeru rakyat supaya bersatu dan bergotong-royong bagi merealisasikan kebangkitan Indonesia.
Beliau berkata, golongan yang lebih berkemampuan perlu membantu mereka yang memerlukan, manakala semua pihak harus bekerjasama demi kepentingan negara.
Presiden itu turut mengajak seluruh rakyat meninggalkan budaya saling menghina, membenci dan berprasangka antara satu sama lain.
"Kita perlu kembali kepada jati diri bangsa Indonesia iaitu saling memaafkan, memahami, menyayangi dan membantu. Jangan terikut-ikut dengan budaya mencaci, dengki serta saling mencurigai," katanya.
Prabowo turut menegaskan sesebuah negara tidak akan mencapai kejayaan sekiranya terus dibelenggu perpecahan dan pertelingkahan.
Menurut beliau, perbezaan latar belakang, kaum mahupun fahaman politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk bermusuhan.
"Untuk apa kita bertelingkah? Kita ini satu keluarga. Apa pun latar belakang, suku atau parti politik kita, setiap parti mempunyai patriot, dan setiap parti juga mempunyai individu yang tidak baik," katanya.-Agensi