Askar Rusia nyaris maut, mesingan hilang kawalan

Iklan
Insiden berkenaan tular di media sosial. -Agensi

MOSCOW – Seorang anggota tentera Rusia berdepan detik cemas apabila nyaris maut selepas sebuah mesingan berat yang dikendalikannya berpusing di luar kawalan ketika latihan tembakan secara langsung.

Rakaman yang tular di media sosial memaparkan anggota terbabit melepaskan tembakan menggunakan YakB-12.7, mesingan putar empat laras berkaliber 12.7 milimeter yang dibangunkan Kesatuan Soviet untuk kegunaan helikopter tempur Mil Mi-24 'Hind'.

Iklan
Iklan

Sebaik picu ditekan, daya hentakan yang sangat kuat menyebabkan senjata itu berpusing tanpa kawalan sehingga mencampakkan anggota berkenaan, manakala beberapa anggota lain terpaksa berlindung bagi mengelakkan terkena tembakan yang dilepaskan secara tidak menentu.

Setakat ini, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kecederaan akibat insiden itu.

Iklan

Bagaimanapun, lokasi dan tarikh sebenar rakaman tersebut masih belum dapat disahkan secara bebas.

Beberapa laporan menyatakan mesingan itu dipasang pada sebuah trak sebagai platform latihan, walaupun YakB-12.7 pada asalnya direka untuk dipasang pada turet helikopter dan bukan digunakan sebagai senjata darat.

Iklan

Penganalisis ketenteraan turut berpendapat konfigurasi pemasangan itu berkemungkinan menjadi punca senjata berkenaan hilang kawalan apabila daya hentakannya gagal diserap dengan sempurna.

Mereka menjelaskan YakB-12.7 menghasilkan daya hentakan yang sangat tinggi, dianggarkan sekitar 1,400 kilogram daya (kgf), sekali gus memerlukan sistem pemasangan yang direka khusus untuk menampung beban tersebut.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai punca sebenar insiden itu masih belum disahkan oleh pihak berkuasa Rusia.

Video tersebut tular ketika konflik Rusia-Ukraine terus memuncak.

Pada Ahad, serangan Ukraine di wilayah Samara dilaporkan mengorbankan seorang individu dan mencederakan tiga lagi, termasuk seorang kanak-kanak.

Media Rusia turut melaporkan Kilang Penapisan Minyak Syzran milik Rosneft dipercayai menjadi sasaran serangan dron.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa tenteranya melancarkan serangan ke atas pelabuhan Odesa dan Chornomorsk di Ukraine, namun dakwaan tersebut belum disahkan oleh pihak berkuasa Ukraine.-Agensi