PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berdepan kritikan selepas tempoh rehat separuh masa final Piala Dunia 2026 dijangka dipanjangkan sehingga 25 minit, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada badan bola sepak dunia itu mula mengorbankan tradisi demi hiburan dan nilai komersial.
Perubahan itu berlaku apabila FIFA merancang mengadakan persembahan hiburan ala Super Bowl selama 11 minit pada waktu rehat aksi final di Stadium New York New Jersey.
Mengikut undang-undang permainan yang ditetapkan Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB), pemain hanya berhak menikmati rehat separuh masa tidak melebihi 15 minit.
Namun, tempoh rehat final kali ini dijangka menjadi lebih panjang apabila persembahan melibatkan barisan bintang dunia seperti Madonna, Shakira dan BTS diselitkan antara dua babak perlawanan.
Situasi itu mengundang perbandingan dengan Super Bowl di Amerika Syarikat yang sememangnya terkenal dengan persembahan besar-besaran ketika rehat, sekali gus menimbulkan kebimbangan bola sepak semakin dipengaruhi elemen hiburan.
Final Piala Dunia Kelab tahun lalu yang turut dianjurkan FIFA dan berlangsung di New Jersey juga menyaksikan tempoh rehat mencecah 24 minit susulan persembahan hiburan membabitkan Coldplay dan beberapa artis antarabangsa.
Walaupun FIFA melihat langkah itu sebagai usaha meningkatkan pengalaman penonton dan menjadikan final Piala Dunia sebagai acara global, ada pihak berpendapat perubahan berkenaan boleh menjejaskan ritma permainan serta menukar identiti tradisional bola sepak.
Final Piala Dunia 2026 akan berlangsung Ahad ini dengan Sepanyol menanti pemenang pertemuan separuh akhir antara England dan Argentina.