Sepanyol hanya selangkah julang Piala Dunia

Iklan
Pedro Porro melengkapkan kemenangan Sepanyol pada minit ke-58. Foto: Agensi

SEPANYOL kini hanya selangkah lagi untuk kembali bergelar juara dunia selepas menewaskan Perancis 2-0 pada aksi separuh akhir Piala Dunia 2026, sekali gus mengesahkan kemaraan ke final buat kali kedua dalam sejarah.

Kejayaan di Arlington itu membuka peluang buat La Roja mengulangi kegemilangan muncul juara dunia pada edisi 2010, selain menamatkan impian Perancis untuk beraksi di pentas final buat kali ketiga berturut-turut.

Iklan
Iklan

Sepanyol tampil lebih tersusun sejak wisel permulaan dengan menguasai permainan, manakala Perancis yang diketuai Kylian Mbappe bergelut mencari rentak meskipun sesekali mengancam menerusi serangan balas.

Gol pembukaan hadir pada minit ke-22 apabila Lamine Yamal bijak merampas bola daripada Lucas Digne sebelum dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Iklan

Mikel Oyarzabal kemudian tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan Sepanyol di depan.

Nasib Perancis terus malang apabila tonggak pertahanan, William Saliba terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan sejurus selepas rehat hidrasi, sekali gus merencatkan lagi perancangan Didier Deschamps.

Iklan

Les Bleus cuba bangkit menerusi Ousmane Dembele, Bradley Barcola dan Mbappe, namun benteng pertahanan Sepanyol yang diketuai Aymeric Laporte serta ketangkasan penjaga gol Unai Simon berjaya mengekang setiap ancaman.

Deschamps melakukan perubahan dengan memasukkan Manu Kone pada awal babak kedua sebelum Desire Doue menyusul pada minit ke-57, namun percaturan itu gagal mengubah corak permainan.

Sebaliknya, Sepanyol menggandakan kelebihan beberapa minit kemudian apabila Pedro Porro melakukan gerakan satu-dua bersama Dani Olmo sebelum menyudahkannya dengan tenang menewaskan Mike Maignan untuk jaringan kedua La Roja.

Perancis terus berusaha memburu gol sepanjang baki perlawanan, namun gagal menembusi pertahanan lawan yang tampil cukup berdisiplin sehingga wisel penamat.

Sepanyol kini menanti pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara England dan Argentina yang berlangsung di Atlanta awal pagi Khamis (3 pagi waktu Malaysia).