KANGAR – Kerajaan Perlis belum melihat keperluan untuk menambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di negeri itu buat masa ini, kata Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah.
Menurutnya, sebarang cadangan untuk mewujudkan ADUN lantikan perlu diperhalusi terlebih dahulu kerana saiz negeri yang kecil.
"Ia juga memerlukan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis selain perlu mendapat persetujuan serta dibawa terlebih dahulu ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Menteri Besar Incorporated (MBI) Perlis dan ESR Motor di Kompleks Seri Putra di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas keperluan ADUN lantikan susulan DUN Melaka meluluskan usul Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan kerajaan negeri melantik hingga tujuh ADUN lantikan.
Usul yang dibentangkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu mendapat sokongan 23 ADUN termasuk tiga wakil pembangkang, manakala lima ADUN daripada Pakatan Harapan tidak menyokong.
Pindaan berkenaan membolehkan kerajaan Melaka melantik hingga tujuh ADUN lantikan daripada pelbagai latar belakang seperti yang diperuntukkan dalam rang undang-undang tersebut.
Jelas Abu Bakar, sehingga kini kerajaan negeri tidak pernah membincangkan penambahan ADUN lantikan kerana berpendapat saiz Perlis yang kecil tidak memerlukan langkah sedemikian.
"Setakat ini belum pernah berlaku lagi cadangan untuk menambah wakil rakyat lantikan memandangkan Perlis hanya mempunyai tiga kawasan Parlimen.
"Saya rasa negeri ini terlalu kecil. Namun, sekiranya ada keperluan pada masa akan datang, kita akan fikirkan perkara itu," ujarnya.