Dewan Rakyat lulus RUU Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026
Iklan
Azalina Foto: Bernama
KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 yang bertujuan memperluas akses kemasukan ke dalam Program Perlindungan Saksi.
RUU itu diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahas oleh 13 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Iklan
Iklan
Antara pindaan utama ialah kepada subseksyen (7)(3) Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696) untuk membolehkan permohonan kemasukan ke dalam program dibuat oleh ibu atau bapa bagi pihak saksi yang tiada keupayaan di sisi undang-undang.
RUU itu turut meminda Seksyen 13(2) Akta 696 dengan memasukkan bantuan psikologi, termasuk kaunseling, sebagai sebahagian daripada bantuan yang boleh diberikan kepada peserta program.
Iklan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kedua berkata, pengalaman pelaksanaan program berkenaan menunjukkan terdapat beberapa aspek yang perlu diperkukuh supaya kekal relevan dengan cabaran semasa.
Menggulung perbahasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, program itu terbukti meningkatkan keberkesanan sistem keadilan jenayah, termasuk membantu pendakwaan dalam pelbagai kes berprofil tinggi.
Iklan
Beliau berkata, perlindungan terhadap identiti dan keselamatan saksi membolehkan mereka tampil memberikan keterangan tanpa rasa takut akan ugutan atau intimidasi, sekali gus membantu pihak pendakwaan mengemukakan bukti yang lebih lengkap dan kukuh kepada mahkamah.
"Keadaan ini membantu memastikan kelancaran prosedur, mengurangkan risiko saksi menarik diri atau enggan memberikan keterangan serta menyumbang kepada keberkesanan keseluruhan proses pendakwaan,” katanya.
Terdahulu ketika sesi perbahasan, rata-rata ahli Parlimen menyokong usaha memperkukuh keselamatan saksi dan pemberi maklumat, di samping mengemukakan pelbagai syor bagi menambah baik kebajikan dan ketelusan program.
Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) menggesa aspek kebajikan mental dijadikan antara indikator kejayaan program, memandangkan saksi kes jenayah berat lazimnya mengalami trauma mendalam, ugutan dan tekanan emosi sehingga terpaksa meninggalkan kehidupan asal mereka.
Beliau turut mencadangkan pemberian bantuan kewangan dan penempatan semula secara one-off kepada peserta selepas program, selain mengesyorkan penggunaan teknologi seperti identiti digital selamat, komunikasi disulitkan dan sistem pemantauan keselamatan tinggi bagi mendepani ancaman siber.
Lim Lip Eng (PH-Kepong) pula mencadangkan penubuhan panel bebas bagi menyemak semula sebarang keputusan berhubung penamatan program perlindungan, selain memberi akses terhad kepada Mahkamah Tinggi melalui prosiding tertutup bagi menjaga kerahsiaan dan keselamatan peserta.
Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) menekankan kepentingan jaminan keselamatan serta elemen semak dan imbang bagi membina keyakinan rakyat untuk tampil sebagai saksi di mahkamah.
Beliau berkata, jaminan keselamatan yang menyeluruh adalah prasyarat utama dalam memastikan kelancaran kempen memerangi jenayah bersindiket dan rasuah.
Sementara itu, V Ganabatirau (PH-Klang) menyifatkan pindaan itu sebagai progresif, khususnya dalam melindungi golongan rentan seperti kanak-kanak dan individu tidak berkeupayaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan perlu menyediakan mekanisme wakil alternatif seperti pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat sekiranya berlaku konflik kepentingan melibatkan ibu bapa atau penjaga.
Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) turut menyokong pindaan itu, namun menggesa kerajaan memperjelas tafsiran istilah"tiada keupayaan di sisi undang-undang" bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan. - Bernama
Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, usul berkenaan telah dirangka oleh Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi dan akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Selasa.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/787773/berita/nasional/network-school-forest-city-pas-kemuka-usul-tergempar-di-dewan-rakyat
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.