'Lima tahun bertahan. Saya dapat keadilan dan nama telah dibersihkan' - Hannah Yeoh

Iklan
Hannah Yeoh berkata, keputusan berkenaan menamatkan perjuangan selama lima tahun untuk membersihkan nama daripada dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan, politik tidak boleh dibina atas fitnah, permainan sentimen kaum dan agama selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran merayu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam kes fitnah terhadapnya.

Ahli Parlimen Segambut itu berkata, keputusan berkenaan menamatkan perjuangan undang-undangnya selama lima tahun untuk membersihkan nama daripada dakwaan yang dilemparkan terhadapnya selain membuktikan tuduhan palsu tidak boleh dibiarkan menjadi kebenaran hanya kerana diulang berkali-kali.

Iklan
Iklan

“Namun jangan bina sokongan politik dengan fitnah. Jangan jadikan kaum dan agama sebagai senjata untuk menghancurkan nama seseorang. Jangan hukum seseorang berdasarkan agamanya sebelum melihat fakta dan tindakannya,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Mahkamah Persekutuan terdahulu dilapor menolak permohonan Musa untuk mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM250,000 kepada Hannah dalam kes saman fitnah.

Iklan

Permohonan kebenaran merayu itu ditolak sebulat suara oleh panel tiga hakim yang bersidang terdiri daripada Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azmi Ariffin, selepas memutuskan bahawa sembilan persoalan undang-undang yang dikemukakan Musa tidak membangkitkan isu baharu yang memerlukan pemutusan mahkamah.

Hannah memfailkan saman tersebut pada 2020 selepas Musa mendakwa beliau cuba menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘negara Kristian’.

Iklan

Mengulas lanjut, Hannah berkata, sepanjang tempoh lima tahun itu beliau berdepan pelbagai tuduhan termasuk dilabel sebagai ‘duta Tuhan’, anti-Islam dan membawa agenda evangelis.

Katanya, tuduhan tersebut bukan sahaja dimainkan dalam pentas politik, malah dipotong menjadi video dan disebarkan di platform media sosial termasuk TikTok sehingga mencetuskan beberapa laporan polis terhadapnya.

"Sepanjang lima tahun ini, saya bertahan dengan satu keyakinan iaitu tuduhan palsu tidak boleh dibiarkan menjadi kebenaran hanya kerana ia diulang berkali-kali.

"Lima tahun kemudian, perjuangan ini akhirnya selesai. Kebenaran telah mendapat tempatnya," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan peguamnya yang diketuai Datuk Ambiga Sreenevasan bersama Razlan Hadri Zulkifli, Lim Wei Jiet, Sangeet Kaur Deo, Lee Guo Wen dan Nevyn Vinosh atas usaha mereka sepanjang mengendalikan kes tersebut.

Dalam rakaman video yang dimuat naik bersama kenyataan itu, Hannah berharap kes yang dihadapinya itu menjadi iktibar kepada semua pihak.

“Isu bangsa, agama dan kaum seperti ini memang tak boleh dimainkan dan saya berharap ia menjadi pengajaran kepada orang lain di luar yang suka mainkan isu kaum dan agama. (Fitnah seperti) ini perlu dihentikan,” tegasnya.

Sementara itu, Razlan Hadri berkata, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Musa selepas mendapati persoalan undang-undang yang dibangkitkan bukan isu baharu dalam undang-undang fitnah.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan mengesahkan bahawa Hannah telah difitnah, sekali gus mengakhiri prosiding yang berlarutan selama lima tahun.

"Kes ini bukan mengenai wang, tetapi mengenai memulihkan reputasi dan memastikan negara ini selamat untuk semua.

"Semua orang mempunyai hak untuk berkata apa sahaja yang mereka mahu, tetapi tidak boleh sehingga memfitnah atau mengeluarkan kenyataan yang boleh memporak-perandakan keselamatan masyarakat," ujarnya.