KUALA LUMPUR - Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) akan memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan pesalah yang disabitkan kesalahan serius untuk membayar pampasan kepada mangsa atau waris berdasarkan fakta dan merit setiap kes.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia termasuk tahap kecederaan atau kematian, kerugian yang dialami serta kemampuan pesalah untuk membayar sebagai mekanisme pampasan kepada ahli keluarga mangsa.
"Kementerian akan terus bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Peguam Negara bagi memastikan penguatkuasaan tegas dan hukuman setimpal demi keselamatan semua pengguna jalan raya," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) mengenai langkah serius kementerian untuk menoktahkan lumba haram di lebuh raya serta hukuman lebih berat kepada pemandu lumba haram yang menyebabkan kematian kepada pemandu atau penumpang lain.
Dalam pada itu Anthony menegaskan, kementerian mengambil langkah tegas dan komprehensif bagi membanteras aktiviti lumba haram di seluruh negara, termasuk melalui pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 24 Jun lalu.
Menurut beliau, RUU tersebut memperkenalkan Seksyen 42A yang mewujudkan kesalahan khusus bagi aktiviti lumba haram iaitu denda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Selain itu denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua atau berulang.
Pada masa sama jelasnya, kementerian melalui agensi penguatkuasaan juga sedang meningkatkan operasi membanteras lumba haram di seluruh negara.
"Mengenai hukuman lebih berat terhadap pemandu lumba haram yang menyebabkan kematian, undang-undang sedia ada sudah memperuntukkan hukuman berat.
"Dalam kes Simpang Renggam, Pejabat Peguam Negara mengarahkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu pertuduhan membunuh yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, termasuk sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati," katanya.
Kemalangan di Jalan Renggam-Kluang pada 1 Jun lalu meragut nyawa empat sekeluarga, berpunca daripada tindakan pemandu dua kereta mewah memandu secara laju dan melulu.