SUNGAI PETANI - Seorang lelaki tidak menyangka kemalangan maut yang berlaku dekat persimpangan lampu isyarat Bandar Seri Cendana di sini pada Selasa membabitkan bapanya sendiri.
Mangsa, Wan Mohd Shamsury Wan Mohd Samsudin, 48, dipercayai baru keluar dari rumahnya di Bandar Seri Astana untuk ke tempat kerja di Butterworth sebelum terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 8.40 pagi.
Anak mangsa, Wan Muhammad Shah Danial, 25, berkata, selama ini dia hanya membaca laporan mengenai kemalangan membabitkan penunggang motosikal, namun tidak menyangka tragedi sama menimpa bapanya.
"Selama ini duk tengok berita RXZ...tentang orang lain yang kemalangan tetapi hari ini berlaku pada abah sendiri, terkejut sangat," katanya sebak ketika ditemui di Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini pada Selasa.
Sementara itu, rakan mangsa, Muhammad Azri Amir, 33, berkata, beliau masih terkejut memandangkan baru sahaja berbual dengan arwah melalui aplikasi WhatApps pada malam sebelum kejadian.
"Arwah seorang yang disenangi ramai, jarang bercakap tetapi sentiasa tersenyum. Kenangan 'ride' bersama tetap dalam ingatan.
"Ke mana-mana 'ride' arwah sering membawa isteri dan begitu juga saya, membuatkan kami rapat. Pagi ini bila dapat tahu kejadian ini, terkejut sangat," katanya.
Isteri mangsa yang turut berada di HSAH kelihatan sugul dan masih terkejut dengan pemergian suaminya.
Difahamkan, sebelum kejadian, pasangan itu keluar dari rumah pada waktu yang hampir sama, dengan isteri memandu kereta manakala mangsa menunggang motosikal beberapa minit kemudian.
Bagaimanapun, sebaik tiba di Tikam Batu untuk memulakan tugas, wanita itu menerima panggilan memaklumkan suaminya meninggal dunia dalam kemalangan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta dari arah Taman Sejati membelok ke kanan ke Bandar Seri Cendana dan memasuki laluan motosikal yang sedang bergerak lurus dari arah Bandar Perdana ke Taman Sejati.
Menurutnya, motosikal ditunggang mangsa kemudian melanggar bahagian sisi sebelah kiri kereta berkenaan.
"Mangsa terjatuh di atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dihantar ke HSAH manakala pemandu kereta turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang dipercayai melanggar lampu isyarat sebelum memasuki simpang sehingga menyebabkan pelanggaran berlaku.
Kes disiasat bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.