TAMBUN - Pondok Darul Furqan di sini menjadi institusi pendidikan Islam pertama menerima kemudahan Digital Maker Hub di bawah Program Transformasi Digital Institusi Pendidikan Islam (Digital IPI).
Kemudahan disediakan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu bagi memperluaskan akses pelajar dan guru institusi pendidikan Islam terhadap kemahiran digital serta teknologi masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, usaha tersebut selaras dengan komitmen agensi itu untuk memperkasa pembangunan bakat secara inklusif supaya lebih ramai rakyat dapat memanfaatkan peluang dalam ekonomi digital.
"Perjalanan Malaysia ke arah Negara AI menjelang 2030 memerlukan pembangunan bakat yang menyeluruh agar tiada bakat yang ketinggalan daripada peluang untuk menguasai dan memanfaatkan kemahiran digital dan teknologi masa hadapan, termasuk warga institusi pendidikan Islam.
"Melalui Digital IPI dan penyediaan Digital Maker Hub, MDEC mahu memastikan guru serta pelajar institusi pendidikan Islam turut diberi ruang untuk lebih celik teknologi dan mampu menjadi pencipta dan inovator yang menyumbang kepada ekonomi digital negara, selaras dengan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Digital Maker Hub kepada pengurusan Pondok Darul Furqan pada Isnin.
Digital Maker Hub merupakan ruang pembelajaran interaktif yang membolehkan guru dan pelajar mempelajari, mencuba serta mengaplikasikan teknologi secara praktikal.
Kemudahan itu dilengkapi komputer riba, sambungan internet, papan pintar interaktif, kit robotik, kit mikropengawal serta pelbagai peralatan sokongan.
Ia sekali gus membuka peluang kepada pelajar dan guru untuk mengembangkan kreativiti, membina keyakinan serta menguasai kemahiran masa hadapan yang relevan dengan keperluan dunia digital.
Pada majlis sama, seramai 30 pelajar dan lima guru Pondok Darul Furqan menyertai Program MetaSkool Metaverse yang berlangsung selama dua hari.
Program berkenaan memberi peluang kepada peserta mempelajari teknologi metaverse menerusi pendekatan praktikal dan interaktif, sekali gus menggalakkan kreativiti, pembelajaran berasaskan pengalaman serta penerokaan idea baharu.
Selain Pondok Darul Furqan, lima lagi institusi pendidikan Islam rintis bakal menerima kemudahan Digital Maker Hub iaitu Maahad Tarbiah Islamiah, Kedah; Pusat Pengajian Pondok Kampung Telong, Kelantan; Institut Ahmad Ibni Idris (SAIFI), Negeri Sembilan; Ribath Al-Musthofa, Pahang dan Maahad Ihya Ulumiddin, Pulau Pinang.
Digital IPI dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri pada Mac lalu sebagai sebahagian usaha Kerajaan Madani memastikan komuniti pendidikan Islam turut mendapat akses kepada kemahiran digital dan teknologi masa hadapan.
Program itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,000 pelajar dan 50 guru menerusi modul latihan merangkumi literasi digital dan kecerdasan buatan (AI), kreativiti digital, pembelajaran imersif, teknologi metaverse serta pembangunan kandungan.
Menerusi Digital IPI, MDEC komited memperkukuh pembangunan bakat dalam ekosistem pendidikan Islam melalui penerapan teknologi dan AI berlandaskan nilai amanah, integriti serta adab.