MANJUNG – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seri Manjung pada Selasa atas tiga pertuduhan memiliki sepucuk senjata api, lima laras senapang angin serta 6,158 butir peluru tanpa lesen atau permit yang sah, awal bulan ini.
Tertuduh, Ling Boon Xu, 30, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta tidak kurang enam sebatan jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Boon Xu didakwa memiliki lima laras senapang angin pelbagai jenis tanpa lesen atau permit senjata yang sah di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, lelaki berkenaan didakwa memiliki 6,158 butir peluru pelbagai jenis tanpa lesen atau permit yang sah di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Pertuduhan itu turut dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syamilah Jalaluddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin seperti diperuntukkan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Tarikh 20 Ogos depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan jurubahasa.
Pada 6 Julai lalu, media melaporkan seorang lelaki ditahan selepas dikesan menyimpan objek menyerupai senjata api bersama ratusan peluru hidup dalam serbuan di Sitiawan di sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek warga tempatan berusia 29 tahun itu ditahan dalam dua siri serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak pada 1 Julai lalu.