SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menerusi peguamnya memfailkan saman terhadap Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz di Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam berhubung dakwaan berunsur fitnah yang mengaitkan dirinya dengan projek Jana Wibawa.
Bekas Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada Isnin selepas usaha mendapatkan penyelesaian secara baik gagal apabila Tun Faisal didakwa tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap cadangan penyelesaian yang dikemukakan.
Menurutnya, tindakan undang-undang itu susulan kenyataan yang didakwa dibuat Tun Faisal dalam podcast The Tiger Show pada 31 Oktober 2025.
"Pada 3 Disember 2025, peguam saya telah menghantar surat kepada Tun Faisal susulan kenyataan fitnah yang dia keluarkan terhadap saya dalam podcast The Tiger Show.
"Dalam surat itu, saya menuntut supaya Tun Faisal menarik balik kenyataan, memohon maaf dan membayar ganti rugi sebanyak RM10 juta atas kesalahan memfitnah saya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Wan Saiful berkata, pada 12 Januari lalu, peguam Tun Faisal membalas surat berkenaan dengan memaklumkan bahawa anak guamnya enggan memenuhi tuntutan tersebut.
Katanya, peguamnya kemudian menghantar surat balasan pada 2 Mac lalu bagi meminta Tun Faisal mengemukakan cadangan penyelesaian, namun tiada sebarang maklum balas diterima walaupun selepas empat bulan.
"Berikutan itu, satu surat akhir dihantar pada 7 Julai lalu bagi mendapatkan cadangan penyelesaian yang substantif, namun sehingga kini beliau masih gagal memberikan sebarang respons.
"Oleh kerana sehingga hari ini dia tidak membalas atau memberi apa-apa cadangan, saya telah mengarahkan peguam saya memfailkan tindakan mahkamah yang tegas di Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam," katanya.
Menurutnya, dalam kenyataan fitnah yang didakwanya berniat jahat itu, Tun Faisal memberi implikasi bahawa dirinya menerima projek Jana Wibawa kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberikan projek tersebut kepadanya.
"Fitnah ini bukan sahaja palsu dan mencemarkan nama baik saya, malah memberi implikasi bahawa Tan Sri Muhyiddin adalah seorang penyalahguna kuasa," katanya.