WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, Washington akan melancarkan lebih banyak serangan terhadap Iran dalam tempoh dua hari akan datang, sambil mendakwa Teheran"tidak mempunyai apa-apa” untuk menghalang serangan itu, lapor Anadolu Ajansi.
"Kami akan menyerang mereka dengan sangat hebat malam ini dan kami akan menyerang mereka dengan hebat esok. Tiada apa yang mereka boleh lakukan mengenainya,” kata Trump pada Isnin dalam wawancara radio bersama pengulas politik dan pengacara bual bicara Hugh Hewitt.
"Mereka tidak mempunyai apa-apa. Mereka tidak mempunyai apa-apa selain hanya tahu bercakap besar,” katanya.
Trump turut membangkitkan kemungkinan menyerang sebuah kemudahan bawah tanah Iran dikenali sebagai Pickaxe Mountain yang menjadi perhatian susulan aktiviti disyaki berkaitan nuklear.
"Pickaxe mungkin menjadi sasaran bagi satu serangan besar tepat berhampiran pintu masuknya,” kata Trump sambil menambah AS"memantaunya dengan teliti”, namun ketika ini tidak melihat"sebarang aktiviti” di situ.
"Keadaan program nuklear mereka tidak berjalan dengan baik. Setiap kali kami mendengar mengenainya, kami musnahkannya.
"Jadi mereka tidak suka bercakap mengenainya. Tetapi kami mungkin akan menyerang Pickaxe dalam masa terdekat,” kata Trump. - Bernama