SMKA Tun Rahah sasar 100 peratus penebusan Baucar Buku Madani

Iklan
Pelajar teruja kerana ditawarkan pelbagai pilihan buku berkualiti merangkumi bahan akademik, buku motivasi, novel serta bahan bacaan umum

SUNGAI BESAR – Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Rahah menyasarkan 100 peratus penebusan Baucar Buku Madani dalam kalangan semua pelajar yang layak bagi memastikan tiada yang tercicir daripada menikmati manfaat inisiatif kerajaan itu.

Jurucakap pihak sekolah yang juga Guru Perpustakaan dan Media SMKA Tun Rahah, Nur Faiz Solehan berkata, sasaran itu selaras usaha sekolah membudayakan amalan membaca serta melahirkan generasi yang berilmu dan cintakan buku.

Iklan
Iklan

Nur Faiz Solehan

Katanya, pihak sekolah melihat inisiatif Baucar Buku Madani sebagai peluang terbaik untuk memastikan setiap murid memiliki bahan bacaan berkualiti dan bersesuaian dengan keperluan mereka.

Iklan

“Sasaran ini selaras dengan usaha sekolah membudayakan amalan membaca dalam kalangan pelajar,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, majlis penyerahan sijil jalinan kerjasama antara Karangkraf Mall dengan SMKA Tun Rahah disempurnakan wakil Karangkraf Mall, Muhamad Hafizul Mukmin kepada Penolong Kanan Pentadbiran SMKA Tun Rahah, Abdul Malik Mohamed.

Iklan

Wakil Karangkraf Mall, Muhamad Hafizul Mukmin (kanan) bersama Penolong Kanan Pentadbiran SMKA Tun Rahah, Abdul Malik Mohamed.

Mengulas lanjut, Nur Faiz berkata, keyakinan untuk mencapai sasaran itu didorong oleh kerjasama erat antara pihak pentadbir sekolah, guru, ibu bapa serta rakan kolaborasi, Karangkraf.

Katanya, pelajar juga menunjukkan minat yang tinggi untuk mendapatkan buku pilihan masing-masing dan pihak sekolah tidak mahu seorang pun terlepas peluang menikmati manfaat daripada inisiatif berkenaan.

“Bagi memastikan sasaran itu tercapai, pelbagai strategi dilaksanakan termasuk hebahan secara berterusan melalui guru kelas serta pelbagai platform komunikasi sekolah,” katanya.

Program penebusan Baucar Buku Madani dengan kerjasama Karangkraf Mall di sekolah berkenaan turut menerima sambutan positif daripada pelajar dan guru.

Menurut Nur Faiz, pelajar teruja kerana ditawarkan pelbagai pilihan buku berkualiti merangkumi bahan akademik, buku motivasi, novel serta bahan bacaan umum, manakala guru pula melihat kerjasama itu memudahkan proses penebusan di sekolah.

Katanya, dari segi pelaksanaan, program berlangsung lancar mengikut jadual yang dirancang apabila pelajar hadir mengikut giliran yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan.

Jelasnya, pihak sekolah bersama wakil Karangkraf bekerjasama memastikan proses pemilihan buku dan penebusan baucar berjalan secara sistematik, teratur dan selesa.

Mengulas impak inisiatif itu, beliau berkata, Baucar Buku Madani bukan sahaja membantu mengurangkan perbelanjaan ibu bapa untuk membeli bahan bacaan, malah membuka peluang kepada pelaja  memiliki buku yang mungkin sukar diperoleh sebelum ini.

Katanya, program seumpama itu juga mampu menyemarakkan budaya membaca dan menjadikan buku sebagai teman pembelajaran sepanjang hayat.

Pihak sekolah berharap pelajar bukan sekadar memiliki buku, sebaliknya benar-benar membacanya, menghayati ilmu yang diperoleh serta menjadikan amalan membaca sebagai budaya hidup.

Sekolah yang berminat boleh menghubungi Karangkraf Mall di talian 019-229 7227 untuk menempah slot program penebusan.