PELANTIKAN pengadil El Salvador, Ivan Barton untuk mengadili pertembungan separuh akhir Piala Dunia 2026 antara Perancis dan Sepanyol mencuri perhatian susulan rekodnya yang pernah mencetuskan kontroversi.
Barton diberi kepercayaan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengendalikan aksi dua gergasi Eropah itu di Stadium Dallas, Arlington, Amerika Syarikat (AS) dengan bantuan rakan senegara, David Moran dan Antonio Pupiro.
Namun, namanya bukan asing dalam dunia bola sepak antarabangsa selepas beberapa keputusan sebelum ini mengundang perdebatan.
Antara yang paling diingati ialah aksi separuh akhir Liga Negara-Negara CONCACAF 2023 antara AS dan Mexico apabila Barton melayangkan empat kad merah dalam perlawanan yang berlangsung dalam suasana tegang.
Dua pemain AS, Sergino Dest dan Weston McKennie antara yang dilayangkan kad merah dalam aksi penuh emosi itu, yang turut menyaksikan Barton menamatkan perlawanan lebih awal selepas sorakan berunsur diskriminasi daripada penyokong Mexico berterusan.
Kontroversi Barton kembali diperkatakan pada aksi suku akhir kejohanan sama membabitkan Mexico dan Honduras apabila keputusan memberikan tambahan masa 12 minit dipersoalkan.
Mexico berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-101 sebelum mara menerusi penentuan penalti, sekali gus mencetuskan bantahan daripada kem Honduras.
Pada Piala Dunia kali ini, Barton sudah mengendalikan tiga perlawanan dengan rekod satu kad merah dan 10 kad kuning, termasuk aksi pusingan 16 terakhir antara Switzerland dan Colombia yang berakhir dengan kemenangan Switzerland menerusi penentuan penalti.
Pengadil berusia 35 tahun itu turut mencipta sejarah di kejohanan ini apabila menjadi pengadil pertama melayangkan kad merah kepada pemain kerana menutup mulut ketika berlaku pertelingkahan, selaras dengan peraturan baharu FIFA.