Pemain tengah B-23, Ahmad Haziq sertai Terengganu FC

Iklan
TFC mengumumkan pemain tengah skuad B-23 negara, Ahmad Haziq Kutty Abba sebagai rekrut terbaharu skuad Penyu bagi musim 2026/2027. Foto Facebook TFC

TERENGGANU FC (TFC) mengumumkan pemain tengah skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Ahmad Haziq Kutty Abba sebagai rekrut terbaharu skuad Penyu bagi musim 2026/2027.

Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) dalam kenyataan malam ini memaklumkan bekas pemain Penang FC berusia 22 tahun itu telah menandatangani kontrak selama semusim bermula 1 Julai 2026 hingga 31 Mei 2027.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, kehadiran pemain tersebut diharap dapat membantu skuad Penyu memperkukuh prestasi pasukan dalam mengharungi saingan musim baharu Liga Malaysia (Liga M) yang lebih mencabar.

"Ahmad Haziq memiliki pengalaman di pentas antarabangsa apabila pernah mewakili skuad B-23 kebangsaan.

Iklan

"Kehadiran pemain muda berbakat ini dilihat mampu menambah pilihan, selain meningkatkan persaingan sihat di bahagian tengah menjelang musim baharu yang akan membuka tirai bulan depan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ahmad Haziq dalam kenyataan sama bertekad untuk bekerja keras dan memberi sepenuh komitmen bagi menaikkan reputasi serta mencapai sasaran pasukan.

Iklan

Malah, adik kepada bekas pemain Harimau Malaya, Mohamad Syamer itu turut meluahkan kegembiraan kerana dapat kembali beraksi di bawah bimbingan Mohd Nafuzi Zain yang juga bekas jurulatih skuad B-23 negara.

TFC yang berpangkalan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak sebelum ini merekrut dua pemain baharu, iaitu Danial Amier Norhisham dan Manuel Ott untuk menghadapi saingan Liga M musim ini. - Bernama