BINTANG ternama Hollywood, Mark Wahlberg kini berada di sini bagi menjalani penggambaran sebuah produksi antarabangsa, yang dijangka berlangsung selama kira-kira dua minggu di beberapa lokasi di negeri ini.
Biro pelancongan rasmi kerajaan negeri Penang Global Tourism menerusi hantaran di Facebook pada Isnin memaklumkan negeri itu terus menjadi pilihan penerbit filem antarabangsa berikutan gabungan unik warisan, budaya dan tarikan modennya.
"Pihak produksi kini menjalankan penggambaran di Pulau Pinang. Kami amat berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Mark Wahlberg bersama-sama dengan pasukan produksi yang membawa projek filem terbaharu mereka ke beberapa lokasi di seluruh Pulau Pinang.
"Daripada pesona Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town kepada kepelbagaian landskap budaya dan alam semula jadi negeri ini, Pulau Pinang menawarkan latar yang unik dan terus memikat pembikin filem dari seluruh dunia," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk A Rajendran mengesahkan penggambaran bermula Jumaat lalu dan antara lokasi penggambaran ialah Lorong Kulit, Stadium Bandaraya, Stadium Batu Kawan dan Padang Macallum.
Difahamkan, Wahlberg, 54, menjalani penggambaran filem terbaharu Netflix berjudul The Big Fix dengan penyelarasan produksi tempatan dikendalikan oleh Biscuit Films.
Beliau membintangi filem itu bersama-sama dengan aktor Britain, Riz Ahmed manakala barisan pelakon pembantu turut menampilkan beberapa bakat dari rantau ini, iaitu Chin Han (Singapura); Vipin Sharma (India) serta pelakon Malaysia Nuha Jes Izman.
Wahlberg ialah pelakon, penerbit dan bekas penyanyi rap dari Amerika Syarikat yang pernah membintangi pelbagai filem antaranya The Departed, The Fighter, Ted, Lone Survivor, Transformers: Age of Extinction dan Uncharted. - Bernama