KUALA LUMPUR - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia - Integriti, Governan dan Antirasuah (KRPPM-IGAR) berharap pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya diteruskan dengan beberapa pindaan.
Pengerusinya, Azli Yusof berkata, KRPPM-IGAR menyambut baik perkembangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) yang telah dibentangkan kerajaan di Parlimen, namun terdapat beberapa penambahbaikan yang wajar dipertimbangkan sebelum ia dimuktamadkan.
"Kita berharap proses ini dapat diteruskan. Apa yang kita faham, mungkin akan ada sedikit pindaan dan penambahbaikan khususnya berkaitan peranan Parlimen dalam rang undang-undang tersebut.
"Perkara ini wajar dipertimbangkan supaya mekanisme semak dan imbang menjadi lebih kukuh. Pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya antara reformasi institusi yang penting bagi memperkukuh kebebasan sistem keadilan sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi perundangan negara," katanya kepada Rasuah Busters selepas mempengerusikan Mesyuarat KRPPM-IGAR di Parlimen, di sini pada Isnin.
Sebelum ini, bacaan kedua RUU Perlembagaan (Pindaan) bagi memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Dewan Rakyat telah ditangguhkan.
Kerajaan mengeluarkan usul tersebut daripada agenda mesyuarat Parlimen bagi membolehkan beberapa perkara dalam draf pindaan diperhalusi lanjut.
Tambah Azli, agenda reformasi institusi negara perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan melalui penelitian yang teliti, bukannya sekadar memenuhi komitmen politik.
Ujarnya, setiap RUU yang dibawa ke Parlimen mesti benar-benar mampu memperkukuh tadbir urus, meningkatkan ketelusan serta memberi manfaat kepada rakyat.
Selain itu, Azli turut menegaskan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat (FOI) memerlukan penelitian lebih mendalam sebelum dibentangkan untuk kelulusan.
Katanya, hasil perbincangan bersama pertubuhan masyarakat sivil masih terdapat beberapa peruntukan yang memerlukan penambahbaikan bagi memastikan objektif sebenar undang-undang tersebut dapat dicapai.
"Kita tidak mahu rang undang-undang ini diluluskan tetapi masih mengandungi kelemahan yang akhirnya menghalang matlamat asal untuk meningkatkan ketelusan dan akses rakyat kepada maklumat," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya draf rang undang-undang tersebut dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi membolehkan penelitian lebih menyeluruh dilakukan dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.
Menurutnya, proses semakan yang lebih teliti akan membantu menghasilkan undang-undang yang lebih berkualiti, praktikal dan benar-benar memberi impak kepada negara.
Tambah beliau, KRPPM-IGAR turut membincangkan beberapa aspek reformasi pilihan raya yang perlu diberikan perhatian menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Azli berkata, hasil pemerhatian beberapa organisasi masyarakat sivil termasuk pengalaman sepanjang pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini, menunjukkan masih terdapat ruang penambahbaikan terhadap sistem pilihan raya negara.
Katanya, cadangan tersebut perlu diberi perhatian lebih awal supaya kelemahan sedia ada dapat diperbaiki sebelum rakyat sekali lagi turun mengundi pada PRU16.
Jelas beliau, kekuatan KRPPM-IGAR terletak pada pendekatan rentas parti yang menghimpunkan ahli Parlimen kerajaan, pembangkang, senator serta pakar sivil untuk berbincang secara profesional mengenai agenda reformasi negara.
Pada masa sama, ujarnya, kumpulan berkenaan turut mendapatkan pandangan daripada pertubuhan masyarakat sivil yang dianggap mewakili suara rakyat dalam pelbagai isu berkaitan integriti, governan dan antirasuah.
"Kita berharap kumpulan rentas parti ini akan terus menjadi platform yang mampu memberikan input berkualiti kepada kerajaan.
"Pandangan daripada masyarakat sivil amat penting kerana mereka membawa suara rakyat yang merasai sendiri kesan sesuatu dasar," katanya.
Menurut Azli, kerjasama erat antara ahli Parlimen, senator dan masyarakat sivil akan menghasilkan dasar serta undang-undang yang lebih baik, sekali gus memperkukuh institusi negara.
"Bila semua pihak duduk semeja dan meneliti sesuatu rang undang-undang secara bersama, kita bukan sahaja dapat menghasilkan reformasi institusi yang lebih mantap, malah memastikan setiap undang-undang yang diluluskan benar-benar memberi manfaat besar kepada negara dan rakyat.
"Reformasi institusi bukan sekadar memenuhi tuntutan semasa, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang bagi membina sebuah negara yang lebih telus, berintegriti dan berteraskan prinsip akauntabiliti," katanya.