Derita mangsa Putra Heights belum berakhir

Iklan
Tangkap layar akaun Tik Tok mangsa dan komen pengguna Tik Tok yang rata-ratanya bersimpati terhadap derita ditanggung mangsa terbabit.

SUBANG JAYA – Lebih setahun selepas insiden letupan saluran paip gas Petronas di Putra Heights, seorang mangsa masih berdepan kesan fizikal dan emosi akibat kecederaan melecur yang dialaminya.

Perkongsian dimuat naik oleh pengguna menerusi #wave TikTok memaparkan perkembangan proses pemulihan kecederaan pada bahagian tapak kaki dari 27 November 2025 hingga 4 Jun 2026.

Iklan
Iklan

Menerusi hantaran itu, mangsa memaklumkan dia masih tidak mempunyai kediaman tetap selain terus bergelut dengan parut dan keloid yang menyakitkan walaupun lebih setahun tragedi tersebut berlalu.

Menurut perkongsian berkenaan, rawatan yang perlu dilalui bagi menguruskan keadaan itu termasuk urutan parut, penggunaan gel atau kepingan silikon.

Iklan

Mangsa juga perlu mengambil suntikan steroid, rawatan pulse dye laser, pengambilan ubat dan ubat penahan sakit, antihistamin, pemakaian pakaian tekanan (pressure garments) selain menjalani terapi pekerjaan serta fisioterapi.

Mangsa turut menggambarkan proses pemulihan itu sebagai sesuatu yang amat memenatkan dan mengehadkan keupayaan fizikal serta mental untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

Iklan

Perkongsian tersebut mengundang simpati orang ramai apabila ruangan komen dibanjiri kata-kata semangat dan doa agar mangsa terus tabah menghadapi proses pemulihan.

Antara komen yang ditinggalkan termasuk seorang pengguna yang menulis:"We don't know your story. Please be strong. Get well soon."

Sementara coklat_Vanila pula mendoakan agar mangsa segera pulih dan menyatakan sentiasa mendoakan proses pemulihannya.

Seorang lagi pengguna, T.D berharap mangsa tidak berputus asa dengan menulis,"Get well soon! Don't worry, everything gonna be fine" sementara browniesauraus mengucapkan "Speedy recovery."

Hantaran itu yang menerima 719 tanda suka, 28 komen dan 157 perkongsian menjadi peringatan bahawa kesan tragedi letupan saluran paip gas Putra Heights bukan sahaja meninggalkan parut fizikal.

Malah bagi mangsa terbabit ia memberi impak berpanjangan terhadap kehidupan mangsa yang masih berusaha meneruskan proses pemulihan.

Untuk rekod, kejadian letupan saluran paip gas Petronas di Putra Heights pada 1 April 2025 mencetuskan kebakaran besar yang memusnahkan serta merosakkan ratusan kediaman dan kenderaan.

Selain itu, ia turut mengakibatkan ratusan penduduk cedera dengan pelbagai tahap kecederaan, termasuk melecur.

Tragedi itu turut memaksa ramai penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara sebelum usaha pemulihan dilaksanakan.