BEAUFORT - Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun bukan sahaja berdepan trauma akibat dibuli rakan sekolah, malah turut menerima ugutan rogol daripada teman lelaki kepada salah seorang pembuli berkenaan.
Akibat tidak tahan dengan ancaman tersebut, mangsa bertindak membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan empat individu, termasuk dua pelajar sekolah dalam kejadian di Membakut.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, kesemua empat individu itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan wang secara berulang serta ugutan jenayah terhadap pelajar terbabit.
"Menurut laporan, kira-kira jam 2 petang pada 8 Julai lalu, mangsa yang ketika itu berada di sekolah menyatakan bahawa wangnya telah diambil oleh rakan sekolahnya yang merupakan pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Lima.
"Pengadu turut menyatakan bahawa dia telah diugut oleh dua individu yang mengatakan akan merogolnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas lanjut, Champin berkata susulan laporan tersebut, siasatan lanjut dan rakaman percakapan mangsa mendapati kedua-dua pelajar terbabit sering meminta wang daripada mangsa di mana kejadian itu berlaku pada waktu rehat.
"Pada hari kejadian, pengadu yang tidak lagi tahan dengan perbuatan suspek bertindak memaklumkan perkara tersebut kepada abang sepupunya.
"Abang sepupu mangsa kemudiannya telah menemui salah seorang pelajar yang membuli itu untuk memarahinya, selain mengarahkan agar wang mangsa dikembalikan semula.
"Tindakan itu menyebabkan pelajar terbabit memaklumkan perkara berkenaan kepada teman lelakinya yang sudah tidak bersekolah. Selepas kejadian itu, mangsa menerima pesanan suara daripada suspek lelaki terbabit dalam keadaan marah yang menyatakan mahu merogol mangsa kerana telah memarahi teman wanitanya," katanya.
Champin turut menambah, mangsa mendakwa perkara tersebut telah dilaporkan kepada pihak sekolah terlebih dahulu, namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga memaksa mangsa tampil membuat laporan polis.
"Pada Jumaat lalu sekitar jam 7.15 malam, sepasukan polis telah menahan dua pelajar terbabit kerana disyaki terlibat dalam kes yang disiasat. Pada hari yang sama, dua lagi suspek turut berjaya ditahan.
"Kesemua suspek telah dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan selanjutnya," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang bentuk perbuatan buli, ugutan jenayah, pemerasan, atau apa-apa sahaja kelakuan yang boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan pelajar.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan mengikut undang-undang tanpa mengira latar belakang atau status mereka," tegasnya.