Pengkritik sukan cedera dipukul

Iklan
Tangkap layar video tular seorang YouTuber dan pengkritik sukan cedera dipukul individu tidak dikenali di Bandar Sri Damansara pada Sabtu lalu.

PETALING JAYA - Seorang YouTuber dan pengkritik sukan bola sepak cedera termasuk patah tulang mata selepas dipukul dua individu tidak dikenali di sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Sri Damansara, di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7.56 malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang ingin mengisi angin tayar kenderaannya telah didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal Yamaha LC.

"Suspek kemudian memukul mangsa berkali-kali sebelum merakam video kejadian dan melarikan diri dari lokasi.

Iklan

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami patah tulang mata serta beberapa kecederaan lain," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek masih dijalankan.

Iklan

Tambahnya, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Danish Noor Azri di talian 013-6201412 bagi membantu siasatan," ujarnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyebarkan bahan berkaitan kejadian di mana-mana platform sehingga boleh menjejaskan siasatan polis.