Wanita warga emas hilang 3 hari, motosikal ditemukan di kedai makan terbiar

Iklan
Lokasi motosikal Rosnani (kiri) ditemukan di kedai makan lama. - Foto: Wan Mohd Hirmanuzi 

KOTA BHARU – Seorang wanita warga emas hilang sejak tiga hari lalu selepas keluar dari rumahnya di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian di sini pada Jumaat lalu.

Lebih pelik apabila motosikal milik warga emas itu, Rosnani Mahmood, 62, ditemukan di sebuah kedai makan yang sudah lama tidak beroperasi di tepi sungai berhampiran Jambatan Wakaf Stan, kira-kira dua kilometer dari rumah wanita berkenaan.

Iklan
Iklan

Anak saudaranya, Wan Mohd Hirmanuzi Wan Ibrahim, 48, berkata, kehilangan warga emas itu disedari oleh bapa sepupunya yang tinggal berjiran dengan Rosnani.

Menurutnya, lelaki berkenaan mula berasa curiga apabila melihat rumah wanita terbabit bergelap sejak malam hari Jumaat, selain mendapati motosikal model Kriss berwarna hitam yang kebiasaannya diparkir di hadapan rumah turut tiada.

Iklan

“Pada jam 10 pagi Sabtu, bapa sepupu telefon saya bertanya sama ada ibu saudara ada datang ke rumah saya atau tidak. Memang tak datang.

“Kami kemudian menghubungi adik-beradik lain dan mencarinya di rumah saudara-mara serta rakan-rakan rapat kerana dia kadang-kadang ada juga bermalam di rumah anak saudara, namun kali ini langsung tidak ditemui,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Menurut Wan Mohd Hirmanuzi, selepas seharian mencari, dia membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian kira-kira jam 9 malam Sabtu, selain meminta bantuan orang ramai untuk mengesan ibu saudaranya menerusi media sosial.

Katanya, motosikal Rosnani ditemukan pada jam 4.40 petang Ahad selepas seorang pemancing memaklumkan bahawa dia terlihat sebuah motosikal diparkir berhampiran sebuah kedai makan lama di tepi sungai terbabit.

“Saya terus ke lokasi dan mendapati memang itu motosikal milik ibu saudara saya.

“Tak ada kunci pada motosikal dan kami mencari dia di sekitar kawasan berkenaan pun tidak ada,” katanya.

Wan Mohd Hirmanuzi memberitahu bahawa dia sudah memaklumkan penemuan motosikal itu kepada polis dan berharap ibu saudaranya segera ditemukan.

Dia berkata, Rosnani yang tidak berkahwin tinggal bersendirian di rumahnya serta menghidap diabetes dan masalah saraf.

“Dia dah tak larat dan tak pernah keluar jauh.

“Biasa hanya menunggang motosikal untuk membeli makanan di kawasan sekitar rumah saja,” ujarnya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mungkin terlihat Rosnani atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kehilangannya diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Balai Polis Kubang Kerian.