'Bersama parti gagal, dendam terbalas lepas bantu BN Johor menang' - Exco AMK

Iklan
Dzul Hilmi berkata, Parti Bersama bukan sahaja gagal memberi saingan kepada BN, malah menguntungkan gabungan tersebut apabila memecahkan undi penyokong reformasi. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor turut dipengaruhi tindakan Parti Bersama yang didakwa memecahkan undi Pakatan Harapan (PH) demi membalas dendam terhadap PKR.

Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol berkata, tindakan parti pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli itu bukan sahaja gagal memberi saingan kepada BN, malah menguntungkan gabungan tersebut apabila memecahkan undi penyokong reformasi.

Iklan
Iklan

“Saya harap mereka sudah boleh tutup kedai selepas ini apabila misi membalas dendam kepada PH, khususnya di Johor, telah berjaya.

Beliau turut berharap penyokong PH tidak lagi bersimpati terhadap Rafizi kerana mendakwa tindakannya hanya akan menguntungkan pihak lawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Melaka selepas ini.

Iklan

Sebelum ini, pemimpin DAP, Tony Pua dilaporkan berkata, antara kerusi PH yang didakwa terkesan akibat pertandingan Parti Bersama ialah Perling, Stulang dan Bukit Batu.

Mengulas lanjut, Dzul Hilmi berkata, keputusan PRN Johor membuktikan bahawa strategi Parti Bersama tidak melemahkan BN, sebaliknya menyebabkan undi penyokong PH berpecah.

Iklan

“Keputusan pilihan raya jelas menunjukkan siapa yang paling mendapat manfaat daripada perpecahan ini. Apabila undi penyokong reformasi berpecah, pihak yang paling untung ialah BN.

“Apa yang dilihat sepanjang kempen juga lebih tertumpu kepada menyerang PH dan PKR berbanding mengemukakan tawaran baharu yang mampu meyakinkan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, kegagalan Parti Bersama meraih sokongan pengundi sehingga kehilangan deposit di banyak kerusi sepatutnya menjadi ruang untuk melakukan muhasabah.

Katanya, semua pihak yang memperjuangkan agenda reformasi seharusnya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh PH serta memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan, bukannya membuka ruang kepada BN dan Pas mengukuhkan kedudukan.

“Kepada seluruh penyokong PH dan PKR, marilah kita mengambil iktibar daripada keputusan ini.

“Perpecahan hanya menguntungkan pihak lawan, manakala perpaduan merupakan kekuatan utama untuk meneruskan agenda reformasi demi masa depan negara,” katanya.