KOTA BHARU – Lebih 200 penduduk melibatkan beberapa buah kampung di Peringat di sini mendesak agar laluan pusingan-U (U-turn) dibuka semula selepas hampir dua bulan ia ditutup kepada orang ramai.
Penduduk mendakwa mereka terpaksa melalui perjalanan yang jauh iaitu lebih lapan kilometer setiap kali untuk menghantar anak ke sekolah, urusan perniagaan dan rutin harian.
Lebih membimbangkan apabila ada segelintir penduduk berani mengambil risiko demi menjimatkan jarak perjalanan dengan membuat pusingan U secara haram di simpang lain serta meredah pembahagi jalan menggunakan motosikal serta kereta sehingga mengundang risiko kemalangan.
Wakil penduduk, Che Abdul Rahman Che Ramli, 37, berkata, isu itu memberi kesan besar kepada penduduk yang bergantung kepada laluan berkenaan untuk urusan harian.
Dia yang bekerja sebagai pemandu dan menetap di kawasan itu sejak tujuh tahun lalu terpaksa menempuh perjalanan lebih jauh setiap kali menghantar tiga anaknya yang berusia tujuh, 13 dan 15 tahun ke sekolah berhampiran.
"Saya ada tiga orang anak yang belajar di SK (Sekolah Kebangsaan) Long Ghafar dan SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Long Ghafar. Sejak u-turn ditutup, kami terpaksa berpusing jauh setiap hari.
"Kalau dari lampu isyarat Peringat ke Padang Kala sahaja sudah lebih tujuh kilometer untuk berpatah balik. Ia membazir masa, minyak dan menyusahkan penduduk," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.
Ujar Che Abdul Rahman, penutupan laluan itu turut menjejaskan akses ke beberapa sekolah lain yang terdapat disekitar kawasan berkenaan termasuk SK Peringat, SMK Long Ghafar 1 dan 2, SK Padang Kala, Sekolah Menengah Ugama (Arab) Al-Kauthar serta Masjid Peringat.
"Kalau hantar seorang anak mungkin lapan kilometer sehari. Kalau dua atau tiga orang anak di lokasi berbeza, jaraknya bertambah lagi," katanya.
Sementara itu, pengusaha D Tanjak Cafe & Restaurant, Mohd Noor Hamdan Ahmad, 40, berkata, perniagaannya turut menerima tempias apabila pelanggan semakin berkurangan sejak laluan tersebut ditutup.
"Dalam tempoh hampir dua bulan ini, jualan saya merosot sehingga kira-kira 70 peratus.
"Kebanyakan pelanggan datang dari arah Kota Bharu dan sebelum ini mereka menggunakan u-turn di hadapan Taman Desa Peringat. Sekarang ramai mengeluh kerana terpaksa berpusing terlalu jauh," katanya.
Menurut dia, penduduk serta orang ramai terpaksa memandu kira-kira empat kilometer untuk mencari lokasi berpatah balik sebelum kembali semula ke destinasi asal, menjadikan perjalanan pergi dan balik mencecah lapan kilometer.
"Kami faham aspek keselamatan, tetapi berharap pihak berkaitan dapat mencari penyelesaian yang lebih sesuai kerana kesannya sangat besar kepada penduduk dan peniaga," katanya.
Seorang lagi penduduk, Norasiah Mat Hassan, 60, yang berniaga nasi kerabu, turut berharap laluan u-turn berkenaan dibuka semula bagi memudahkan urusan penduduk dan menghidupkan kembali aktiviti perniagaan di kawasan itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud dalam satu kenyataannya di Facebook memaklumkan beliau sudah memohon pertimbangan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuka persimpangan U-turn yang baharu bagi menggantikan U-turn yang telah ditutup.
"Saya dimaklumkan oleh Pengarah JKR Kelantan bahawa pihaknya sedang mengkaji beberapa lokasi berdekatan yang bersesuaian bagi menggantikan U-turn yang telah ditutup.
"Buat masa ini JKR dalam kajian bagi mengenalpasti lokasi U-turn yang bersesuaian. Saya berharap sedikit ruang dapat diberikan kepada JKR yang tentunya akan meneliti sebaik-baiknya isu pusingan-U demi keselamatan dan kesejahteraan kita bersama," katanya.