Malaysia gesa reformasi Majlis Keselamatan PBB, mansuh kuasa veto

Iklan
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni.

SHAH ALAM -Malaysia secara konsisten menyokong dan menggesa pelaksanaan reformasi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara menyeluruh, termasuk kuasa veto.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kuasa veto adalah tidak adil dan perlu dimansuhkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, paling tidak ia mesti dimansuhkan sama sekali dalam kes pencabulan undang-undang antarabangsa yang melibatkan jenayah berat seperti jenayah perang, genosid, jenayah terhadap kemanusiaan dan pemusnahan infrastruktur awam secara sengaja seperti yang berlaku di Gaza.

“Penyalahgunaan kuasa veto oleh kuasa-kuasa besar dunia sememangnya menjejaskan kredibiliti Majlis Keselamatan PBB.

Iklan

“Implikasinya, institusi tersebut kerap kali gagal melaksanakan mandat utamanya di bawah Piagam PBB untuk memelihara keamanan dan keselamatan sejagat.

“Ia termasuk dalam menangani konflik di Asia Barat dan dalam mempertahankan hak asasi mutlak rakyat Palestin,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Iklan

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang meminta Mohamad menyatakan pendirian Malaysia terhadap ketidakseimbangan kuasa veto oleh kuasa besar dunia dalam Majlis Keselamatan PBB.

Tambah Lukanisman, selain isu veto, Malaysia juga menyokong peluasan Anggota Tetap dan Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB bagi memastikan setiap rantau diwakili secara saksama.

Jelasnya, Malaysia berpendirian bahawa komposisi Majlis Keselamatan PBB perlu diperbaiki supaya lebih saksama, inklusif dan mencerminkan realiti dan dinamik geopolitik semasa.

“Kelantangan kita di PBB bukanlah retorik semata-mata, sebaliknya bersandarkan rekod prestasi baik dan kredibiliti Malaysia juga sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB sebanyak empat kali.

“Kita konsisten mempertahankan undang-undang antarabangsa dan menjadi jurucakap yang berani dalam membela nasib negara-negara membangun dan mereka yang dianiaya.

“Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa Malaysia telah secara rasmi mengemukakan pencalonan untuk kembali menganggotai Majlis Keselamatan PBB sebagai Anggota Tidak Tetap bagi tempoh 2036 hingga 2037,” ulasnya.