PUTRAJAYA - Pengamal media yang hadir bagi membuat liputan keputusan rayuan akhir kes Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Persekutuan, di sini menerima pek makanan berisi nasi lemak dan lempeng.
Selain petugas media, pek makanan tersebut turut diagihkan kepada petugas di sekitar mahkamah dan penyokong yang hadir bagi memberikan sokongan buat bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu.
Iklan
Iklan
Kakak kepada Syed Saddiq, Sharifah Amani berkata, ia sumbangan daripada adiknya sebagai tanda penghargaan terhadap pihak yang hadir.
Sebelum ini, Syed Saddiq turut menyediakan juadah kepada petugas media yang membuat liputan prosiding mahkamah membabitkan dirinya sebagai tanda penghargaan atas komitmen menjalankan tugas.
Mahkamah Persekutuan Putrajaya bakal mengumumkan keputusan sama ada Syed Saddiq bebas atau sebaliknya di atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Keputusan mahkamah tertinggi negara itu bukan sahaja menentukan sama ada ahli politik berusia 34 tahun tersebut kekal bebas sebagai Ahli Parlimen Muar atau kembali berdepan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Ia sekali gus menjadi titik penting dalam perjalanan politik bekas Ketua Armada Bersatu berkenaan.