BERMULA sekadar menyediakan ketupat daun buluh untuk dinikmati keluarga pada setiap musim perayaan, seorang suri rumah dari Kampung Wang Perah, di sini kini mampu berbangga apabila produk tradisi yang diusahakannya berjaya menembusi pasaran di beberapa negeri.
Sarina Saidin, 56, berkata, perniagaan ketupat daun buluh sejuk beku yang diusahakan secara serius sejak 2022 semakin mendapat sambutan apabila menerima tempahan dari Johor, Perak, Perlis dan Kuala Lumpur terutamanya musim perayaan.
Menurut ibu kepada lima anak itu, idea untuk mengembangkan perniagaan tersebut tercetus selepas menerima maklum balas yang menggalakkan daripada rakan-rakan yang pernah menikmati ketupat daun buluh hasil air tangannya.
“Pada mulanya saya hanya membuat ketupat untuk keluarga ketika musim perayaan. Suatu hari saya membawa ketupat daun buluh ini sebagai buah tangan kepada rakan di Kuala Lumpur.
“Tidak sangka mereka sangat menyukainya dan mula membuat tempahan untuk diberikan kepada rakan-rakan lain. Dari situlah saya mendapat semangat untuk mengembangkan perniagaan ini,” ujarnya.
Ujar Sarina, perniagaan yang bermula secara kecil-kecilan kini berkembang pesat selaras dengan peningkatan permintaan pelanggan.
Katanya, setiap kilogram ketupat dijual pada harga RM28 dan mengandungi kira-kira 26 biji, bergantung pada saiz.
“Setiap kali musim perayaan, saya mampu menjual lebih 200 kilogram ketupat daun buluh sejuk beku,” katanya.
Tambahnya, kejayaan yang dikecapinya hari ini bukan diperoleh dengan mudah kerana pada peringkat awal dia sendiri tidak mahir membalut ketupat daun buluh.
Katanya, kemahiran itu dipelajari daripada arwah ibu mentuanya walaupun pada mulanya dia berasa kekok dan mengambil masa lama untuk menyiapkan setiap balutan.
“Proses penyediaannya memerlukan ketelitian, bermula daripada mendapatkan daun buluh, merendamnya bersama garam, mengelap dan menyusun daun sebelum disimpan di dalam peti sejuk.
“Selepas itu, pulut dimasak, dibalut menggunakan daun buluh, direbus dan seterusnya disejukbekukan bagi memastikan produk tahan lebih lama,” katanya.
Jelasnya lagi, keistimewaan ketupat daun buluh terletak pada aroma semula jadi daun buluh yang menghasilkan rasa lebih harum dan lemak berbanding ketupat biasa.
Katanya, aspek kualiti sentiasa diberi keutamaan, khususnya dari segi rasa dan proses penyediaan, bagi memastikan produk yang dihasilkan tahan lama serta memenuhi kehendak pelanggan.
“Bagi memenuhi cita rasa pelanggan, kami turut menghasilkan beberapa variasi seperti perisa jagung, pulut hitam dan kacang, selain ketupat daun buluh original.
“Ketupat ini juga mudah dihidangkan kerana tidak perlu dipotong. Ia hanya perlu dikukus selama kira-kira lima minit sebelum dinikmati bersama rendang, gulai atau serunding,” katanya.
Dalam pada itu, Sarina berkata, sokongan suaminya, Abu Bakar Salleh yang bertugas di Pejabat Veterinar Jitra menjadi antara faktor utama yang membantu perkembangan perniagaannya.
Tambahnya, suami serta anak-anak akan turut membantu dalam proses penyediaan ketupat apabila tempahan meningkat terutama menjelang Aidilfitri.
“Harapan saya agar perniagaan yang dibina hasil titik peluh sendiri ini dapat diteruskan oleh anak bongsu yang kini mengikuti pengajian dalam bidang kulinari.
“Saya mahu makanan tradisi ini terus dikenali dan tidak hilang ditelan zaman,” ujarnya.
Sarina turut menerima sokongan daripada Lembaga Kemajuan Kedah (KEDA) menerusi bantuan peralatan, latihan keusahawanan dan peluang mempromosikan produknya bagi mengembangkan lagi perniagaan tersebut.