WENZHOU - Pasukan kecemasan China pada Ahad membersihkan jalan yang dipenuhi pokok tumbang selepas Taufan Bavi menyebabkan banjir, tanah runtuh serta memaksa hampir dua juta penduduk dipindahkan.
Ia berubah menjadi ribut tropika selepas memasuki daratan, tetapi masih berpotensi mencetuskan hujan lebat berpanjangan di timur dan utara Beijing.
Bavi dengan angin berkelajuan sehingga 144 kilometer sejam turut membawa hujan lebat di kawasan sepanjang laluannya.
Sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi ancaman ribut dahsyat kedua dalam tempoh seminggu, sesi persekolahan, urusan kerja, pengangkutan dan aktiviti luar digantung sementara.
Selain itu, lebih 400 penerbangan dan puluhan perkhidmatan kereta api turut dibatalkan di wilayah Zhejiang.
Taufan Maysak yang meragut sekurang-kurangnya 39 nyawa pada awal minggu lalu telah pun mengakibatkan kemusnahan di selatan dan tengah China serta menyebabkan puluhan sungai melimpah dan sebuah empangan takungan air pecah.
Ribut itu melintasi utara Taiwan sebelum membadai China dengan membawa angin kencang dan hujan lebat luar biasa di sebahagian besar kawasan pulau berkenaan.
Jabatan Bomba memaklumkan seramai 134 orang cedera, sebahagian besarnya akibat terjatuh dari motosikal, tergelincir atau terkena objek yang jatuh. Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan.
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan memberitahu sebanyak 137 penerbangan antarabangsa dan 62 penerbangan domestik dibatalkan.
Pada Sabtu, lebih 14,000 penduduk dipindahkan dan kira-kira 170,000 rumah di Taipei terputus bekalan elektrik.
Status Bavi telah diturunkan kepada taufan selepas membadai Guam dan Kepulauan Mariana Utara sebagai taufan super pada hari Isnin lalu sebelum meneruskan pergerakannya merentasi Lautan Pasifik. - AFP
Info:
> Jumlah korban tanah runtuh dan kejadian lain disebabkan hujan lebat dibawa Bavi di Filipina meningkat kepada 18 orang. Hampir 11,000 penduduk di seluruh kepulauan negara itu terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing manakala puluhan pelabuhan masih ditutup.
> Di Jepun, lebih 18,000 isi rumah dan premis di Okinawa terputus bekalan elektrik apabila taufan itu membadai pulau-pulau terpencil di barat daya negara itu, wilayah Miyako menerima impak paling teruk.