[VIDEO] 'Bus stand Klang' lubuk warga asing kena pukat

Iklan

KLANG -"Setiap Sabtu dan Ahad memang mereka ramai, semua kedai mereka sapu."

Itu gambaran situasi di sekitar 'bus stand Klang' di sini yang dipenuhi lambakan warga asing hingga mencetuskan keresahan dalam kalangan penduduk dan peniaga tempatan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, keadaan bertukar kecoh selepas kawasan berkenaan diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dengan kerjasama Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan negeri, selain agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Premis menjual dan memotong daging dipercayai diusahakan warga asing yang beroperasi di sekitar 'bus stand Klang'.

Iklan

Difahamkan, Op Mega yang bermula kira-kira jam 12 tengah hari itu memeriksa lebih 1,000 warga asing antaranya dari Nepal, Bangladesh, Myanmar dan Pakistan.

Sinar Harian yang berpeluang menyertai operasi terbabit mendapati rata-rata premis perniagaan seperti makanan, pakaian, aksesori telefon dan emas dipercayai diusahakan oleh warga asing.

Iklan

Malah, sebuah premis hotel turut dikesan disyaki menjadi lokasi kegiatan tidak bermoral membabitkan warga asing selepas pemeriksaan menemukan kondom dan gel pelincir.

Bukan itu sahaja, pusat bandar berkenaan turut dicemari bau kurang menyenangkan apabila sekurang-kurangnya dua premis dipercayai dijadikan tempat memotong daging lembu.

Penemuan mengejutkan dadah disyaki syabu dalam lipatan duit kertas di sebuah gerai menjual sirih pada Ahad.

Lebih mengejutkan, pemeriksaan di sebuah gerai menjual sirih menemukan bahan disyaki dadah jenis syabu yang disorokkan dalam lipatan wang kertas RM1.

Bagaimanapun, gerai berkenaan telah ditinggalkan oleh penjaganya, seorang lelaki warga Bangladesh.

Berdasarkan maklumat seorang lelaki tempatan yang berada di kawasan itu, dia mendakwa gerai berkenaan dikatakan menjual syabu bersama sirih dalam kalangan warga asing.

"Suspek dikesan menggunakan taktik menjual sirih bagi mengaburi mata pihak berkuasa, namun secara rahsia mereka turut menawarkan syabu," ujarnya.

Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor bagi proses dokumentasi untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, seorang peniaga tempatan yang enggan dikenali berkata, keadaan di kawasan berkenaan berubah seperti kampung halaman mereka pada hujung minggu.

"Kalau tengok memang di sana sini kedai makan mereka, kedai baju... jalan hitam pun boleh jadi merah sebab ludah sirih.

"Kalau tengok depan itu, nama sahaja kedai mamak, tetapi sebenarnya Bangladesh.

"Saya percaya ada pihak yang menjaga mereka (warga asing) ini, kalau tidak bagaimana mereka boleh berniaga dengan mudah. Ramai yang ditahan hari ini, memang puas hati, terbaik," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Pemerhatian lanjut Sinar Harian mendapati terdapat segelintir individu yang disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba melarikan diri selepas melihat kehadiran anggota JIM.

Ada antara mereka berpura-pura sebagai pelanggan kedai dan mendakwa sebagai warga tempatan, selain terdapat segelintir yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk.

Sinar Harian turut difahamkan, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor bagi proses dokumentasi untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.