KOTA BHARU – Fenomena El Nino yang menyebabkan keadaan cuaca lebih kering merekodkan sebanyak 2,190 panggilan dan kes kebakaran dalam tempoh enam bulan tahun ini dengan peningkatan ketara pada Mac dan April.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata, keadaan cuaca panas dan taburan hujan yang lebih rendah dijangka meningkatkan risiko kebakaran terbuka sekiranya fenomena itu berterusan sehingga September.
“Daripada 2,190 panggilan kebakaran yang kami terima tahun ini, lonjakan paling tinggi kes berlaku pada Mac dan April.
Beliau berkata, berdasarkan rekod JBPM, sebanyak 242 kes kebakaran terbuka direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun lalu, dengan Tumpat mencatat jumlah tertinggi iaitu 99 kes, diikuti Kota Bharu (52 kes) dan Pasir Puteh (37 kes).
Menurutnya, kebanyakan kebakaran terbuka berpunca daripada aktiviti pembakaran bagi tujuan pertanian dan pembersihan kawasan yang tidak dikawal.
“Kalau boleh kami mahu elakkan kejadian seperti yang berlaku pada Mac dan April lalu.
“Jika perlu melakukan pembakaran, pastikan ia dikawal supaya tidak merebak dan mengancam keselamatan,” katanya.
Farhan Sufyan berkata, sebagai langkah kesiapsiagaan, JBPM Kelantan menempatkan 30 jentera dan 40 pam di seluruh negeri bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku kebakaran terbuka.
Beliau berkata, pihaknya juga akan memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Alam Sekitar bagi meningkatkan usaha pencegahan, selain terus menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka secara sewenang-wenangnya.
“Kami lebih mengutamakan langkah pencegahan kerana kebanyakan kebakaran terbuka sebenarnya boleh dielakkan dengan kerjasama semua pihak,” katanya.
Sementara itu, Farhan berkata, JBPM Kelantan turut memberi tumpuan terhadap aspek keselamatan kebakaran di premis penginapan dengan melaksanakan operasi penguatkuasaan Notis Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) melibatkan hotel bajet, rumah tumpangan dan inap desa di seluruh negeri tahun ini.
Menurutnya, usaha itu dibuat berikutan kebanyakan premis ini beroperasi di rumah persendirian dan sebahagiannya tidak menyediakan kemudahan asas keselamatan kebakaran seperti alat pemadam api serta pelan tindakan kecemasan.
“Kami akan mengenal pasti premis melalui pelbagai saluran termasuk platform tempahan dalam talian sebelum memberi khidmat nasihat kepada pemilik bagi memastikan aspek keselamatan dipatuhi,” katanya.