ISKANDAR PUTERI - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan meneliti secara terperinci mengenai insiden pengundi memuat naik gambar kertas undi yang sudah dipangkah di media sosial, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya perlu memastikan terlebih dahulu sama ada tindakan itu dilakukan pengundi biasa ketika sedang mengundi dalam bilik saluran mengundi ataupun pengundi pos.
"Kita ada melihat beberapa media sosial dan beberapa pihak ada yang pos gambar itu (kertas undi sudah dipangkah).
"Bagaimanapun, kita tidak dapat memastikan sama ada gambar-gambar itu memang diambil dalam bilik ketika undian biasa atau kita berpendapat mungkin ia dilakukan oleh pihak-pihak yang mengundi pos.
"Bagaimanapun, perkara ini kita akan lihat dengan lebih terperinci bagi memastikan pada masa akan datang terutamanya pada pengundi biasa, ia tidak berlaku lagi.
"Prosedur operasi standard (SOP) SPR semasa mengundi di saluran mengundi adalah pemilih wajib meletakkan telefon bimbit di dalam kotak putih yang disediakan," katanya ketika sidang media di di Bangunan Sultan Ismail, di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah tindakan SPR ke atas pengundi yang memuat naik kertas undi yang sudah dipangkah untuk tontonan umum.
Dalam perkembangan lain, Ramlan berkata, SPR akan meneruskan usaha berkongsi keputusan tidak rasmi bagi mana-mana pilihan raya menerusi medium siaran langsung di media sosial.
Katanya, SPR mendapat respons yang baik ketika mula melaksanakan inisiatif itu ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan yang lalu.
"Kita berkongsi maklumat yang kita ada kerana maklumat itu bukan lagi maklumat rahsia kerana ia diambil dari Borang 14.
"Kita rasa lebih sesuai untuk berkongsi keputusan tidak rasmi mengikut data yang kita ada.
"Kita akan lihat secara terperinci jika ada apa isu-isu berkaitan, tetapi rasanya ia banyak memberi manfaat," jelasnya.
PRN Johor Ke-16 berakhir pada Sabtu dengan menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar di 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan hanya memenangi lapan kerusi DUN.