Kekal bebas atau ke tirai besi

Iklan
Syed Saddiq

PUTRAJAYA – Selepas tertangguh selama dua minggu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya bakal mengetahui nasib rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasannya di Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin.

Ia membabitkan empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Armada Bersatu pada 2018 dan 2020.

Iklan
Iklan

Keputusan mahkamah tertinggi negara itu bukan sahaja menentukan sama ada ahli politik berusia 34 tahun itu kekal bebas sebagai Ahli Parlimen Muar atau kembali berdepan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Ia sekali gus menjadi titik penting dalam perjalanan politik bekas Ketua Armada Bersatu berkenaan.

Iklan

Sama ada diputuskan secara sebulat suara atau majoriti, keputusan panel tiga hakim itu bakal menoktahkan episod perundangan yang menjadi perhatian ramai sejak kes berkenaan bermula.

Penangguhan keputusan pada 30 Jun lalu berlaku selepas seorang daripada panel tiga hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali tidak dapat menghadiri prosiding kerana tidak sihat dan diberikan sijil cuti sakit selama dua hari.

Iklan

Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mengetuai panel ketika itu memaklumkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hadir di mahkamah, namun Che Mohd Ruzima tidak dapat bersama panel.

Keputusan rayuan pihak pendakwaan berkenaan akan disampaikan panel tiga hakim terbabit selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak pada 11 dan 12 Disember tahun lalu.

Prosiding itu merupakan rayuan terakhir bagi pihak pendakwaan selaku perayu, manakala Syed Saddiq bertindak sebagai responden.

Sekiranya panel hakim membenarkan rayuan pendakwaan, Syed Saddiq akan disabitkan semula atas empat pertuduhan dan menjalani hukuman diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November 2023.

Bagaimanapun, jika rayuan itu ditolak, Syed Saddiq akan kekal menikmati pembebasan yang diputuskan Mahkamah Rayuan tahun lalu.

Sepanjang prosiding rayuan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan.

Sementara Syed Saddiq diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali ketika itu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Bagi pertuduhan kedua, ahli politik berkenaan didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun bank milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.

Mahkamah Tinggi kemudiannya membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan diputuskan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, pada 25 Jun 2025, anak jati Johor Bahru itu bernasib baik apabila Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskannya daripada sabitan serta hukuman itu.

Ketika rayuan terakhir pada 12 Disember 2025, dalam situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, panel hakim Mahkamah Persekutuan membuat kejutan apabila memberi masa kepada pihak pendakwaan untuk menilai semula rayuannya berhubung keputusan yang membebaskan Syed Saddiq.

Abu Bakar memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk meneliti semula rayuan dan berharap pendakwaan berbincang serta meneruskan rayuan jika masih mampu membuktikan kes.

Bagaimanapun, pendakwaan mengambil pendirian meneruskan rayuan terbabit selepas mendapatkan pandangan dan arahan lanjut daripada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.