Yadim salur RM50,000 bantu barisan hadapan

Iklan
Tuan Kamarul Arief (kiri) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Penyelaras Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 Sinar Harian, Auzani Fikry. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyalurkan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 Sinar Harian (CovidSinar) bagi membantu petugas kesihatan dalam memerangi penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, Yadim membuat keputusan untuk melakukan kerjasama bersama Tabung CovidSinar itu kerana mempunyai matlamat yang sama bagi membantu petugas barisan hadapan (frontliners).

Iklan
Iklan

Menurutnya, frontliners merupakan kumpulan yang perlu diberikan perhatian kerana menjadi nadi dalam mempertahankan rakyat Malaysia daripada musibah Covid-19 ini.

"Kita tahu di seluruh negara frontliners bertungkus-lumus dan mempertaruhkan nyawa mereka untuk memastikan masyarakat di negara kita berada dalam keadaan selamat dan terkawal

Iklan

"Jadi untuk menyantuni kumpulan-kumpulan ini, kini kita Sinar Harian melalui Tabung CovidSinar antara pasukan yang terawal dalam menyalurkan sumbangan kepada golongan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan replika cek sumbangan berjumlah RM50,000 kepada penyelaras Tabung CovidSinar, Auzani Fikry di Pusat Operasi dan Pengumpulan Tabung CovidSinar di Kumpulan Karangkraf di sini hari ini.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Ketua Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin; Penolong Pengarah Bahagian Media dan Teknologi Dakwah Yadim, Norisham Hamzah dan Ketua Unit Media Yadim, MdZan Saari.

Tuan Kamarul Arief

Mengulas lanjut, Tuan Kamarul Arief melahirkan keyakinan bahawa kerjasama itu akan dimanfaatkan lebih ramai lagi frontliners menerusi sumbangan tersebut.

Katanya, untuk fasa pertama, bantuan sebanyak RM50,000 itu akan digunakan bagi membeli 1,000 pasang peralatan perlindungan diri (PPE) yang akan digunakan oleh petugas kesihatan.

"PPE sangat diperlukan oleh frontliners khususnya di seluruh negara dalam menghadapi kes-kes Covid-19 yang semakin bertambah.

"Malah bantuan ini juga datangnya dari rakyat Malaysia sendiri yang menyalurkan sumbangan kepada Yadim dan ada dalam kalangan mereka mahu sumbangan itu digunakan untuk membeli PPE bagi memastikan keselamatan petugas kesihatan yang mengendalikan kes-kes Covid-19 ini,” katanya.

Mengulas perkembangan berkaitan, Tuan Kamarul Arief turut memaklumkan pihaknya menerusi program Musa’adah Covid-19 Yadim telah memasuki fasa kedua dalam menyalurkan bantuan kepada frontliners, keluarga jemaah tabligh yang positif Covid-19, pelajar universiti dan golongan asnaf B40.

Katanya, pada fasa pertama bantuan itu banyak tertumpu di sekitar Lembah Klang dan Selangor dan pada fasa kedua bermula minggu depan, ia akan diagihkan kepada penerima yang berada di Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu.