KUALA TERENGGANU – Peserta program Superbike Fighter (SBK) 2.0 maut selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Aprilia yang ditungganginya hilang kawalan lalu merempuh pembahagi tengah jalan di Jalan Jambatan Kuala Ibai, di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa wanita berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Gong Badak menghala ke sebuah rumah inap di Dungun.
"Apabila tiba di lokasi kejadian yang merupakan laluan berselekoh, motosikal jenis Aprilia ditunggangi mangsa dipercayai telah hilang kawalan.
"Insiden itu menyebabkan kenderaan berkenaan melanggar pembahagi tengah jalan lalu mengakibatkan mangsa terjatuh di atas jalan raya," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
"Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.