BATU PAHAT - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar mendakwa wujud isu 'undi hantu' di sebuah pusat mengundi dalam kawasan berkenaan, hari ini.
Onn berkata, perkara itu dikesan di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senggarang kira-kira 10.30 pagi tadi.
Iklan
Iklan
Katanya, beliau dimaklumkan bahawa seorang pengundi tidak dapat mengundi kerana namanya telah digunakan oleh individu lain.
Sehubungan itu, Onn menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya memastikan semua pengundi yang layak terutama di DUN Senggarang dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing.
"Saya minta orang ramai mengundi dari sekarang dan pastikan undi masing-masing selamat dan tidak digunakan oleh orang lain,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook miliknya.
Onn berkata, satu laporan polis dibuat oleh pengundi lelaki berkenaan yang berumur 25 tahun di Balai Polis Senggarang pada 11 pagi tadi berhubung dakwaan tersebut bagi membolehkan tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa.
Pada PRN kali ini, Onn berdepan saingan tiga penjuru menentang penyandang Mohd Yusla Ismail dari Barisan Nasional dan Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mewakili Perikatan Nasional (PN-Bersatu). - Bernama