'Ahli MPT Bersatu letak jawatan tak jejas cukup bilang mesyuarat' - Radzi Jidin

Iklan
Mohd Radzi

SHAH ALAM - Peletakan jawatan beberapa ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menjejaskan ketetapan cukup bilang mesyuarat majlis tertinggi parti itu.

Naib Presidennya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, cukup bilang mesyuarat menurut Fasal 13.12 Perlembagaan Bersatu mensyaratkan satu per dua daripada jumlah ahli MPT.

Iklan
Iklan

"Jumlah ahli MPT Bersatu pada masa ini seramai 23 orang. Maka, cukup bilang mesyuarat MPT Bersatu ialah 12 orang.

"Dengan ini, peletakan jawatan beberapa ahli MPT Bersatu tidak menjejaskan ketetapan cukup bilang mesyuarat.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang mempersoalkan sama ada MPT parti itu masih mempunyai kuorum mencukupi untuk bermesyuarat dan membuat keputusan secara sah susulan peletakan jawatan beberapa MPT.

Tambah Ahli Parlimen Beluran itu, kenyataan Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa krisis parti tersebut akan diselesaikan secara dalaman masih belum menjawab persoalan paling asas mengenai keupayaan MPT untuk terus berfungsi dan bermesyuarat dengan sah.

Iklan

Ronald turut memaklumkan, Fasal 13.12 Perlembagaan Bersatu mensyaratkan kehadiran kuorum melebihi separuh daripada jumlah ahli MPT bagi membolehkan mesyuarat diadakan.

Jelasnya, kegagalan membuktikan bahawa syarat kuorum tersebut masih dipenuhi akan menimbulkan persoalan serius terhadap keabsahan setiap keputusan yang dibuat oleh MPT.

Dalam hantaran sama, Ronald turut memuat naik salinan Perlembagaan Bersatu berkaitan keanggotaan dan syarat kuorum MPT serta senarai 49 pemimpin badan tertinggi parti itu berserta status masing-masing.

Berdasarkan senarai berkenaan, beberapa ahli MPT ditandakan dengan status dipecat, digantung, keluar parti dan meletakkan jawatan.

Perlembagaan Bersatu yang turut dimuat naik Ronald menerusi Fasal 13.12 menetapkan cukup bilang bagi mesyuarat ialah satu per dua daripada jumlah ahli MPT.