KUALA SELANGOR - Sebahagian daripada kira-kira 400 peniaga kecil di sekitar Puncak Alam di sini dipercayai masih menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.
Keadaan ini mengakibatkan mereka berisiko tercicir daripada pelbagai bantuan, geran dan program pembangunan keusahawanan yang disediakan kerajaan.
Atas faktor itu, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Selangor (PPPKMNS) Cawangan Puncak Alam mengambil inisiatif menganjurkan Program Jualan Rahmah Madani pada Ahad ini.
Ia secara langsung bagi membantu memudah cara urusan pelesenan, selain menghubungkan peniaga dengan agensi menawarkan kursus keusahawanan, geran serta modal permulaan perniagaan.
Penyelaras Program, Jamaluddin Abu Bakar berkata, kebanyakan peniaga kecil di kawasan itu menjalankan perniagaan makanan, minuman dan pelbagai jenis barangan, namun masih ada dalam kalangan mereka yang belum mendapatkan lesen perniagaan.
"Kita menganggarkan terdapat sekitar 400 peniaga kecil di Puncak Alam dan masih ada sebahagian yang belum mempunyai lesen.
"Jadi kita mengalu-alukan mereka datang berjumpa persatuan supaya kita dapat membantu memudah cara urusan pendaftaran lesen perniagaan dengan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MDKS)," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, persatuan itu turut bersedia membantu peniaga mendapatkan maklumat mengenai lokasi yang sesuai untuk menjalankan perniagaan.
"Antara lain, persatuan turut akan membantu menghubungkan mereka dengan agensi yang menawarkan latihan keusahawanan, geran bantuan dan modal permulaan perniagaan.
"Kita mahu peniaga kecil berniaga secara sah dan tidak terlepas peluang menikmati pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan bagi meningkatkan pendapatan mereka," katanya.
Mengulas mengenai program berkenaan, Jamaluddin berkata, Program Jualan Rahmah Madani akan berlangsung di Tapak Penjaja PPPKMNS Cawangan Puncak Alam di belakang Medan Selera Fasa 2, Jalan Samudera 9/1, Bandar Puncak Alam pada Ahad ini, bermula jam 8 pagi hingga 1.30 tengah hari.
Beliau berkata, program itu turut memberi peluang kepada penduduk yang masih belum berdaftar sebagai pengundi untuk berbuat demikian menerusi kaunter Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Jumlah penduduk di Puncak Alam dianggarkan melebihi 100,000 orang, namun berdasarkan rekod SPR hanya sekitar 20,000 orang sahaja yang berdaftar sebagai pengundi.
"Apabila lebih ramai penduduk tetap berdaftar, saluran bantuan kerajaan dapat disampaikan dengan lebih tepat kepada kumpulan sasar termasuk penjaja dan peniaga kecil," katanya.
Selain kaunter pendaftaran pengundi oleh SPR, program berkenaan turut menyediakan perkhidmatan semakan MyKad dan pendaftaran kelahiran oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pendaftaran penjaja kecil, pemeriksaan kesihatan, pembelian minyak masak terpakai, jualan durian pada harga rahmah serta jualan makanan dan minuman.