PELABUHAN KLANG - Sebuah bot nelayan dipercayai menjalankan aktiviti menangkap hasil laut secara haram ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor di perairan Kapar, pada Jumaat.
Operasi yang dijalankan kira-kira jam 10.30 malam itu turut menahan dua lelaki warga Indonesia yang dipercayai bertindak sebagai tekong dan kru bot berkenaan.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot fiber itu ditahan oleh kapal ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan rondaan rutin di bawah operasi penguatkuasaan di kedudukan 0.8 batu nautika barat daya Sungai Sementa Besar, Kapar.
Menurutnya, bot berkenaan dipintas selepas dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dilakukan oleh anggota penguat kuasa.
"Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong berusia 32 tahun dan seorang kru berusia 23 tahun yang kedua-duanya merupakan warga Indonesia.
"Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua individu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala tekong turut gagal mengemukakan lesen atau permit menjalankan aktiviti penangkapan hasil laut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kedua-dua suspek bersama bot fiber dan hasil tangkapan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menjalankan aktiviti menangkap hasil laut tanpa lesen atau kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
"Kedua-dua suspek turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.
Abdul Muhaimin berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan haram yang mengancam kelestarian sumber marin serta menjejaskan kedaulatan perairan negara.
Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Selangor bagi membolehkan tindakan segera diambil.