KULAI – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 29 aduan membabitkan penyebaran berita palsu, ucapan kebencian dan penipuan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bermula 1 Jun hingga 9 Julai lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, daripada jumlah itu, 17 aduan melibatkan penyebaran berita palsu, 11 aduan berkaitan ucapan kebencian berunsur 3R, manakala satu kes membabitkan penipuan termasuk akaun palsu dan penyamaran.
Iklan
Iklan
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kulai Besar di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut Nie Ching berkata, bagi kes ucapan kebencian berunsur 3R, sebanyak sembilan kes membabitkan isu kaum, manakala masing-masing satu kes berkaitan agama dan institusi diraja.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan penyebaran maklumat yang tidak sahih atau kandungan berunsur kebencian.
"Saya menyeru kepada pengundi jangan terpedaya dengan berita-berita palsu ataupun kenyataan yang berunsur benci.
"Jadilah seorang netizen yang celik digital dan gunakan kuasa kita sebagai seorang pengundi dengan bijaksana,"katanya.