Merino jelmaan Thanos hancurkan impian dua negara

Iklan
Merino hanya memerlukan tempoh 120 saat untuk meledak gol kemenangan Sepanyol selepas dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-86. Foto Agensi

MIKEL Merino diberi gelaran Thanos versi Piala Dunia oleh netizen susulan reputasinya sebagai pemusnah yang muncul pada saat genting untuk menghukum lawan menerusi jaringan kemenangan.

Pemain tengah Sepanyol itu mencuri perhatian peminat bola sepak dunia selepas dua kali menjadi penentu kemenangan La Roja menerusi jaringan lewat permainan, sekali gus mengundang perbandingan dengan karakter antagonis Marvel, Thanos.

Iklan
Iklan

Seperti watak fiksyen yang sukar dielakkan, Merino hadir ketika lawan menyangka peluang mereka masih terbuka.

Portugal menjadi mangsa pertama apabila Merino dimasukkan pada minit ke-84 dalam aksi pusingan 16 terbaik sebelum meledak gol kemenangan minit ke-91 untuk memastikan Sepanyol menang 1-0.

Iklan

Belgium pula menerima nasib sama di suku akhir apabila pemain berusia 30 tahun itu masuk pada minit ke-86 sebelum menyambar bola muntah penjaga gol gantian, Senne Lammens dua minit kemudian untuk mencetuskan kemenangan 2-1.

Dua jaringan dramatik itu menyaksikan Merino memadamkan impian dua negara berkenaan yang berharap untuk membawa pulang trofi Piala Dunia.

Iklan

Menariknya, Piala Dunia 2026 adalah penampilan sulung Merino di kejohanan berprestij itu.

Daripada enam penampilannya, lima hadir sebagai pemain gantian dan hanya sekali diturunkan sebagai kesebelasan utama.

Namun, dua gol cukup untuk mengangkat namanya sebagai antara watak penting dalam kempen Sepanyol, membuktikan ancaman terbesar kadangkala datang daripada pemain di bangku simpanan yang menunggu peluang.

Kemenangan ke atas Belgium mengatur pertemuan juara Eropah itu dengan pemenang Piala Dunia edisi 1998 dan 2018, Perancis di separuh akhir yang berlangsung di Dallas pada Rabu ini (3 pagi waktu Malaysia).