'Super-sub' Merino bawa Sepanyol ke separuh akhir

Iklan
Mikel Merino (dua kiri) meledak gol kemenangan Sepanyol menerusi situasi bola muntah pada minit ke-88 sekali gus membawa La Roja ke separuh akhir. Foto: Agensi

MIKEL Merino sekali lagi membuktikan statusnya sebagai 'super-sub' apabila menjaringkan gol kemenangan lewat permainan untuk membawa Sepanyol menewaskan Belgium 2-1 di Stadium Los Angeles sekali gus mara ke separuh akhir Piala Dunia 2026.

Selepas muncul wira ketika menyingkirkan Portugal pada pusingan 16 terbaik, Merino sekali lagi mencuri tumpuan apabila hanya dua minit selepas dimasukkan, beliau menyambar bola muntah hasil kegagalan penjaga gol gantian Belgium, Senne Lammens mengawal percubaan Pau Cubarsi pada minit ke-88.

Iklan
Iklan

Kemenangan itu turut menyaksikan La Roja melanjutkan rekod tanpa kalah kepada 36 perlawanan, hanya satu lagi di belakang rekod dunia milik Itali, selain mengesahkan pertembungan blockbuster menentang Perancis di separuh akhir pada Rabu depan (3 pagi waktu Malaysia).

Sepanyol terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Fabian Ruiz pada minit ke-31 selepas menyudahkan bola muntah hasil percubaan Dani Olmo yang ditepis Thibaut Courtois.

Iklan

Belgium bangkit menyamakan kedudukan sebelum rehat apabila Charles De Ketelaere menanduk masuk hantaran tepat Timothy Castagne, namun kecederaan yang memaksa Courtois dikeluarkan pada babak kedua akhirnya memberi kesan besar apabila Lammens melakukan kesilapan yang dihukum Merino.

Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente pula menyifatkan aksi separuh akhir menentang Perancis sebagai pertembungan dua gergasi.

Iklan