PUTRAJAYA – Seramai 36,900 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, jumlah itu hasil 6,237 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun lalu.
"Dalam tempoh tersebut seramai 84,464 individu telah diperiksa. Selain itu, seramai 978 majikan turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen," katanya.
Zakaria berkata, JIM telah melaksanakan 1,154 operasi di seluruh negara melibatkan pemeriksaan terhadap 13,078 individu pada Jun.
“Daripada jumlah itu, seramai 4,093 warga asing telah ditahan, manakala 133 majikan turut ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan imigresen,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesalahan paling banyak dikesan dalam kalangan warga asing yang ditahan ialah tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, diikuti kesalahan menyalahgunakan pas yang dikeluarkan.
Menyentuh isu pelarian Rohingya yang kembali menjadi perhatian, beliau berkata, JIM akan meneruskan operasi penguatkuasaan seperti biasa, namun tindakan imigresen bergantung kepada status dokumentasi individu terbabit.
Katanya, kebanyakan pelarian Rohingya di negara ini memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), justeru mereka tidak boleh dikenakan tindakan atas kesalahan imigresen seperti tiada pas atau tinggal lebih masa.
“Bagaimanapun, mereka tetap tertakluk kepada undang-undang lain. Jika melakukan kesalahan jenayah atau melanggar undang-undang lain, tindakan tetap boleh diambil oleh agensi penguat kuasa berkaitan.
“Sekiranya mereka menjalankan aktiviti seperti berniaga secara haram di tepi jalan, JIM akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi lain untuk menjalankan operasi penguatkuasaan,” jelasnya.