'Kecewa dengan PH, pengundi India dijangka undi protes kepada Bersama, BN'- Charles Santiago

Iklan
Charles Santiago

SHAH ALAM - Golongan pertengahan masyarakat India dilihat bersedia memberikan undi protes kepada Parti Bersama Malaysia (Bersama), manakala kelompok kelas pekerja pula semakin cenderung kembali menyokong Barisan Nasional (BN) susulan kekecewaan terhadap Pakatan Harapan (PH).

Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, kecenderungan itu dikenal pasti berdasarkan pemerhatiannya sepanjang dua hari berada di Johor Bahru termasuk beberapa kali mengunjungi Iskandar Puteri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, satu perkara yang jelas daripada tinjauan tersebut ialah wujud kemarahan dan kekecewaan terhadap PH dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kalangan masyarakat berkenaan.

“Saya meluangkan masa selama dua jam bersama kira-kira 20 hingga 25 pemimpin masyarakat India dan pertemuan itu lebih daripada sekadar perbincangan biasa kerana kekecewaan terhadap PH disuarakan secara berterusan.

Iklan

“Ramai bercakap mengenai janji yang belum ditunaikan, peningkatan kos sara hidup dan perasaan bahawa mereka semakin dipinggirkan secara politik,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Charles berpandangan, keadaan terbabit memperlihatkan perubahan dalam kecenderungan politik masyarakat India dengan golongan pertengahan sedia memberikan undi protes kepada Bersama, manakala golongan bekerja kembali memilih BN.

Iklan

Beliau menambah, suasana kempen di beberapa kawasan dilihat sepi tanpa kibaran bendera dan gerak kerja jentera parti secara besar-besaran, namun keadaan sebenar di peringkat akar umbi mungkin berbeza.

“Jika sentimen yang saya temui itu turut berlaku secara meluas di luar kelompok berkenaan, pilihan raya ini mungkin tidak ditentukan oleh siapa yang mampu memberikan harapan paling besar, tetapi siapa yang menerima kesan daripada kekecewaan paling mendalam,” ujarnya lagi.