SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terharu menerima pelbagai ucapan dan kiriman sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-101 pada Jumaat.
Menerusi hantaran video di Facebook, beliau menzahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghantar mesej serta kad ucapan sempena hari istimewanya itu.
“Assalamualaikum dan selamat pagi. Saya ingin ucap terima kasih kepada semua yang hantar mesej berkenaan dengan hari kelahiran saya yang ke-101 pada hari ini.
“10 hari bulan (tujuh), saya meningkat kepada 101 tahun umur dan saya terima banyak kad-kad hari lahir dan selamat hari jadi. Saya ingin ucap terima kasih kepada semua,” katanya.
Dalam video tersebut, Mahathir turut ditemani isteri tercinta, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada 12 Julai ini.
Mahathir yang dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.
Bahtera perkahwinannya bersama Siti Hasmah kini mencecah 70 tahun dan pasangan itu dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.
Mahathir pernah menjadi Perdana Menteri keempat bermula 16 Julai 1981 dan memimpin negara selama 22 tahun.
Sepanjang pentadbirannya, pelbagai projek mega dibangunkan termasuk Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Koridor Raya Multimedia (MSC), Pusat Pentadbiran Putrajaya dan Litar Antarabangsa Sepang.
Beliau juga terkenal dengan cetusan Wawasan 2020 yang menjadi visi negara untuk mencapai status negara maju.
Pada 1997, majalah Asiaweek menamakan Mahathir sebagai antara 50 individu paling berkuasa di Asia.
Mahathir sekali lagi mencatat sejarah apabila dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas kemenangan gabungan politiknya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
Awal tahun ini, beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami patah tulang pinggul kanan akibat terjatuh di kediamannya di The Mines, Seri Kembangan.
Beliau kini menjalani proses pemulihan dan terbaharu, negarawan itu sempat meluangkan masa menyantuni rakyat di Langkawi.