SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) berada di landasan yang kukuh untuk melepasi garis majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 berdasarkan dapatan kajian terbaharu ILHAM Centre.
Pusat kajian berkenaan memaklumkan, faktor paling dominan yang menyumbang kepada kelebihan itu ialah 'setting' PRN yang berlangsung secara berasingan daripada Pilihan Raya Umum (PRU).
"Dalam konteks PRN, pertimbangan pengundi lebih tertumpu kepada prestasi kerajaan negeri, rekod pentadbiran, keberkesanan Menteri Besar serta pembangunan yang dapat dirasai secara langsung.
ILHAM Centre berkata, selain faktor 'setting' PRN, kedudukan BN turut diperkukuhkan apabila Perikatan Nasional (PN) dilihat bukan lagi ancaman utama sebagaimana pada PRU15.
Katanya, kajian lapangan mendapati imej PN semakin tercalar susulan perkembangan hubungan antara Pas dan Bersatu yang menghantar isyarat bercelaru kepada penyokong mereka
"Kekeliruan mengenai hala tuju gabungan, disertai kegagalan menampilkan naratif yang jelas sepanjang kempen telah melemahkan keyakinan pengundi terhadap kemampuan PN sebagai alternatif yang meyakinkan.
"Di beberapa kawasan majoriti Melayu, sebahagian penyokong Pas dilihat lebih bersedia memberikan sokongan taktikal kepada BN berbanding mempertahankan kekuatan PN," katanya.
Menurut ILHAM Centre, faktor lain yang mengukuhkan kedudukan BN ialah calon yang lebih dikenali serta mempunyai rekod perkhidmatan baik, selain isu kempen yang dekat dengan kehidupan rakyat dan kekuatan jentera parti yang tersusun.
"Berbanding parti lawan yang masih bergelut mencari naratif berkesan, BN berjaya mengekalkan fokus kempen kepada kestabilan politik, kesinambungan pentadbiran dan pembangunan Johor.
"Keseragaman mesej ini membolehkan jentera bergerak dengan lebih tersusun sehingga ke peringkat lokaliti," katanya.
ILHAM Centre turut memaklumkan dapatan kualitatif menunjukkan pengundi di Johor lebih cenderung membuat penilaian secara pragmatik berbanding emosional
Menurutnya, dalam keadaan ekonomi yang masih mencabar, kestabilan pentadbiran dan keupayaan menyampaikan pembangunan menjadi pertimbangan utama pengundi, sekali gus memberikan kelebihan kepada BN yang mempunyai rekod pentadbiran negeri.
Bagaimanapun, ILHAM Centre menegaskan dapatan itu perlu ditafsir mengikut konteks Johor kerana strategi solo BN yang terbukti berkesan di negeri berkenaan bukan jaminan akan menghasilkan keputusan sama pada peringkat nasional.
Katanya, landskap politik setiap negeri mempunyai struktur demografi, budaya politik dan tahap persaingan yang berbeza.
Justeru katanya, kejayaan BN dalam 'setting' PRN Johor lebih mencerminkan kesesuaian strategi dengan karakter politik negeri itu dan tidak boleh dianggap sebagai formula automatik untuk Pilihan Raya Umum.