KUALA LUMPUR - Seramai 4.7 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel berikutan baki simpanan mereka adalah sifar atau terlalu rendah iaitu di bawah amaun minimum RM50 untuk pengeluaran.
Kementerian Kewangan memaklumkan, jumlah tersebut merupakan 56 peratus daripada 8.4 juta ahli yang tidak membuat sebarang pengeluaran bagi tempoh Mei 2024 hingga Oktober 2025 berdasarkan laporan penyelidikan Enduring Today, Shaping Tomorrow: Akaun Fleksibel as a Financial Lifeline for Wellbeing yang diterbitkan April lalu.
Menurutnya, baki 3.7 juta ahli yang mewakili 44 peratus pula mempunyai baki simpanan mencukupi tetapi memilih untuk mengekalkan simpanan mereka.
"Laporan yang sama turut menunjukkan bahawa ahli yang membuat pengeluaran Akaun Fleksibel menggunakan kemudahan ini terutamanya untuk menyokong keperluan hidup dan pengurusan perbelanjaan seharian.
"Antara tujuan utama pengeluaran ialah untuk memenuhi keperluan harian diikuti perbelanjaan rawatan kesihatan dan pembayaran hutang," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.
Kementerian Kewangan menjawab soalan Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai perubahan serta trend pengeluaran dana individu KWSP melalui akaun 3 dan langkah kerajaan dalam memastikan daya tahan dana persaraan KWSP dalam menjamin kelestarian pelan persaraan hari tua.
Tambah kementerian itu, kira-kira 37 peratus atau 5 juta ahli berusia bawah 55 tahun telah membuat sekurang-kurangnya satu pengeluaran daripada Akaun Fleksibel bagi tempoh sama.
Katanya, analisis KWSP juga mendapati corak pengeluaran Akaun Fleksibel semakin stabil selepas fasa awal pelaksanaannya, dengan jumlah pengeluaran bulanan menurun secara beransur-ansur kepada purata sekitar RM0.44 bilion sebulan bagi tempoh Januari hingga Disember 2025.
"Setakat 31 Mei lalu, jumlah pengeluaran melalui Akaun Fleksibel adalah sebanyak RM19.87 bilion yang melibatkan 5.5 juta ahli.
"Manakala baki simpanan di dalam Akaun Fleksibel adalah berjumlah RM14.36 bilion," jelasnya.
Kementerian itu berkata, kerajaan bersama KWSP terus mengambil beberapa langkah utama bagi memastikan daya tahan dana persaraan KWSP serta kelestarian pelan persaraan jangka panjang
"Antaranya mengekalkan struktur simpanan teras, melaksanakan pemantauan berterusan terhadap trend pengeluaran Akaun Fleksibel, memperkukuh literasi kewangan ahli, menggalakkan caruman tambahan dan sukarela, mengamalkan pengurusan pelaburan yang berhemat dan mampan, serta melaksanakan penilaian dasar secara berkala.
"Langkah-langkah ini penting bagi memastikan keseimbangan antara keperluan kewangan jangka pendek ahli dan kecukupan simpanan persaraan jangka panjang terus terpelihara," ujarnya.