BUKIT KAYU HITAM – Pembukaan jajaran laluan baharu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand mampu menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
Laluan berkenaan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul di sini pada Jumaat.
Dalam ucapannya, Anwar berkata, projek tersebut merupakan satu lagi lembaran bersejarah yang mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi di utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand.
Menurut beliau, kedua-dua kerajaan kini melangkaui hubungan diplomatik tradisional dengan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi bersama menerusi cadangan mewujudkan Zon Ekonomi Khas Sempadan.
Beliau berkata, kedua-dua negara turut menegaskan semula sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$30 bilion menjelang 2027 dan pelbagai isu berkaitan kastam, imigresen, perdagangan makanan laut serta prosedur rentas sempadan akan diselesaikan secepat mungkin.
Anwar berkata, penyelesaian isu berkenaan penting bagi mengurangkan kos logistik, mempercepatkan urusan pelepasan di pintu sempadan dan meningkatkan daya saing perdagangan.
"Tiada sebab lori perlu menunggu berjam-jam di pusat pemeriksaan akibat kelewatan yang tidak munasabah. Kita memerlukan proses pelepasan yang lebih pantas dan kos yang lebih rendah demi manfaat rakyat," ujarnya.
Beliau turut menyifatkan Perdana Menteri Thailand sebagai seorang pemimpin yang praktikal dan berorientasikan tindakan sehingga beberapa isu yang tertangguh selama bertahun-tahun berjaya dipersetujui dalam tempoh singkat sepanjang lawatan rasmi delegasi Thailand ke Malaysia.
Sementara itu, Anutin berkata, projek laluan baharu berkenaan merupakan hasil kerjasama erat kedua-dua negara yang akan memudahkan perjalanan rentas sempadan, mempercepatkan pergerakan barangan dan mengurangkan kesesakan di pintu masuk utama Malaysia-Thailand.
Menurut beliau, kerajaan Thailand juga berusaha memperkukuh jaringan pengangkutan darat dan laut supaya laluan perdagangan dapat diperluaskan ke utara Thailand, China malah berpotensi sehingga Rusia, manakala barangan dari Thailand dan China pula boleh bergerak lebih pantas ke Malaysia, Singapura serta Indonesia.
Beliau berkata, kedua-dua negara juga mencapai persefahaman dalam beberapa isu yang telah lama tertangguh termasuk sektor perikanan, selain bersetuju memperkukuh kerjasama dalam aspek keselamatan tenaga melalui perluasan rangkaian grid elektrik.
Laluan baharu itu akan dibuka kepada semua pengguna jalan raya bermula jam 6 pagi pada Sabtu, manakala laluan lama yang menghubungkan Bukit Kayu Hitam dengan Danok akan ditutup sepenuhnya bermula jam 12 tengah malam pada hari yang sama.