KUALA LUMPUR - Pekerja yang berhasrat untuk tidak meneruskan caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) boleh mengisi perakuan pelepasan liabiliti bermula pada Isnin.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz berkata, permohonan ‘opt-out’ itu boleh dibuat secara dalam talian.
“Sesiapa yang ingin keluar daripada skim ini perlu mengisi borang yang kita anggap sebagai perakuan pelepasan liabiliti.
“Jadi, bila ada pelepasan perakuan liabiliti ini PERKESO atau majikan tidak akan bertangungjawab.
“Maknanya, kemalangan, kecederaan dan kematian yang berlaku di luar waktu bekerja tidak ada sebarang perlindungan. Jadi, jangan salahkan PERKESO atau majikan selepas ini,” katanya ketika sidang akhbar di Menara PERKESO di sini pada Jumaat.
Jemaah Menteri pada Rabu memutuskan pelaksanaan skim berkenaan tidak lagi diwajibkan, sebaliknya dibuat secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata, keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri membangkitkan maklum balas yang diterima berkaitan pelaksanaan caruman skim berkenaan.
Sebelum ini, lebih sembilan juta pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dilaporkan menerima perlindungan automatik bagi kemalangan bukan bencana kerja mulai 1 Jun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, sebelum ini memaklumkan bahawa skim LINDUNG 24 Jam yang diperkenalkan menerusi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bertujuan memperluaskan jaringan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja, termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.
Beliau berkata, skim itu dibiayai sepenuhnya menerusi caruman pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa yang ditetapkan, tertakluk kepada had siling gaji sebanyak RM6,000.