Dalang warga Indonesia tumpas, sindiket seludup PATI kutip RM1,500 seorang

Iklan
Antara individu diberkas dalam serbuan dijalankan.

SABAK BERNAM - Kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) terbongkar menerusi serbuan di beberapa lokasi termasuk rumah yang dipercayai dijadikan transit dalam operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor di daerah ini pada Rabu.

Operasi Pintas yang bermula kira-kira jam 10 malam itu menyaksikan serbuan dilakukan di perairan Sekinchan, Dataran Pantai Redang Sekinchan, dua buah rumah di Jalan Parit 8 Timur, Sungai Besar dan Jalan Parit 1 Barat, Sungai Besar.

Iklan
Iklan

Serbuan dijalankan pegawai dan anggota D7 JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu menahan seramai 12 individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan berbangsa Cina serta 11 warga Indonesia, termasuk seorang wanita.

Difahamkan, turut dirampas sebuah bot kayu berlesen B, enam telefon bimbit dan sebuah buku lesen vesel bot bagi membantu siasatan.

Iklan

Menurut sumber, kegiatan penyeludupan migran itu dipercayai didalangi warga Indonesia dengan migran dibawa menggunakan khidmat transporter ke lokasi pengumpulan di sekitar Sekinchan sebelum dihantar ke rumah transit.

"Bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa, sindiket hanya membawa seorang atau dua migran bagi setiap perjalanan bot, manakala migran diarahkan mengaku sebagai awak-awak bot nelayan sekiranya ditahan.

Iklan

"Sindiket dipercayai menggunakan jeti nelayan di sekitar Sekinchan sebagai laluan penyeludupan dengan mengenakan bayaran RM1,500 bagi setiap migran dan dipercayai telah beroperasi sejak kira-kira dua bulan lalu," katanya.

Antara individu diberkas dalam serbuan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan migran supaya menghubungi Hotline Polis Selangor di talian 03-2052 9999 bagi menyalurkan maklumat.